UUM perkasa agenda kesihatan remaja melalui kursus ToT PROSTAR 2.0 IPT 2026
Berita dan Gambar : Prof. Madya Dr. Rajwani Md. Zain
SINTOK, 9 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited memperkukuh agenda pembangunan mahasiswa holistik apabila menjadi tuan rumah Kursus Training of Trainers (ToT) PROSTAR 2.0 IPT Tahun 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 8 hingga 9 Mei 2026 di kampus UUM Sintok, Kedah.
Program berimpak tinggi itu merupakan anjuran bersama Jawatankuasa Pembelajaran Sepanjang Hayat, Jawatankuasa Seminar dan Latihan SAPSP, Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Unit HIV/STI/Hepatitis C, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada pelajar bidang Pengurusan Kerja Sosial dan Kaunseling telah menyertai kursus tersebut, dengan bimbingan tenaga pengajar profesional melibatkan Jurulatih PROSTAR Negeri Kedah dan Kebangsaan.
Program PROSTAR atau Program Sihat Tanpa AIDS untuk Remaja merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia yang diperkenalkan sejak tahun 1996 bagi memberikan pendidikan kesihatan reproduktif dan seksualiti kepada remaja secara menyeluruh dan berkesan.
Selaras dengan perubahan semasa, pendekatan program ini telah diperkasa melalui pengenalan PROSTAR 2.0, yang lebih inklusif, interaktif serta menekankan kerjasama rentas agensi.

Penganjuran kursus ini bertujuan melahirkan kumpulan jurulatih mahasiswa yang kompeten, berpengetahuan dan berkemahiran untuk mengendalikan program pendidikan kesihatan remaja serta advokasi berkaitan HIV/AIDS di institusi pengajian tinggi.
Sepanjang kursus berlangsung, peserta diberikan pendedahan menyeluruh mengenai modul terkini PROSTAR 2.0 yang dibangunkan oleh Sektor HIV, Kementerian Kesihatan Malaysia. Selain itu, peserta turut menjalani latihan praktikal berkaitan teknik pengendalian aktiviti dalam setiap modul serta kaedah merancang pelaksanaan program di peringkat universiti.

Inisiatif ini dilihat sejajar dengan usaha UUM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berupaya menjadi agen perubahan sosial melalui penglibatan aktif dalam isu kesejahteraan komuniti dan kesihatan awam.
Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad berkata, program seperti ini amat penting dalam memperkasakan peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan sosial yang mampu menyampaikan maklumat kesihatan secara tepat, beretika dan berkesan kepada komuniti remaja.
Menurut beliau, isu kesihatan reproduktif, HIV/AIDS dan kesejahteraan mental dalam kalangan remaja perlu ditangani secara holistik melalui pendekatan pendidikan, advokasi dan intervensi komuniti yang berterusan.

“SAPSP sentiasa komited melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, tetapi turut memiliki nilai kemanusiaan, kemahiran insaniah dan kepekaan sosial yang tinggi. Program seperti ToT PROSTAR 2.0 ini menjadi platform penting untuk mahasiswa mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pendidikan rakan sebaya,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah serta semua rakan strategik yang sentiasa bekerjasama dengan UUM dalam menjayakan program pembangunan komuniti dan kesihatan awam.

“Kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan agensi kesihatan amat penting dalam memastikan usaha pendidikan kesihatan remaja dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh, mampan dan memberi impak kepada masyarakat,” tambah beliau.
Melalui kursus ini, UUM berharap peserta yang terlibat mampu menggerakkan aktiviti advokasi serta pendidikan kesihatan remaja secara lebih efektif, seterusnya menyumbang kepada pembentukan generasi muda yang sihat, berinformasi dan berdaya tahan.



