15 Padawan dirai dalam Majlis Graduasi Micron Technology
Gambar Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan
PULAU PINANG, 3 Disember 2024: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Micron Technology telah meraikan 15 pelajar UUM yang berjaya menamatkan program di bawah School of Hard Knocks (SoHK) dalam Majlis Graduasi Micron Padawan pada 21 November lalu.
Penyelaras SoHK, Dr. Adilah Azhari berkata, program ini banyak memberi manfaat kepada pelajar terutama yang berada di tahun akhir pengajian.
Menurutnya, padawan juga memperoleh pengalaman serta suasana kerja dalam industri sebelum mereka memulakan latihan industri di semester akhir lalu memasuki alam pekerjaan setelah bergraduasi.
“Program SoHK ini dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UUM disamping melatih dan mendedahkan kepada pelajar agar lebih bersedia untuk menempuh alam pekerjaan yang bersesuaian dengan perkembangan industri hari ini,” katanya.
Pelajar Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Alyaa Azreen Ahmad Azli berterima kasih kepada PPKKG dan Micron Technology kerana memberi peluang kepadanya menyertai program di bawah SoHK.
Dia juga berharap agar pelajar-pelajar lain dapat mengambil peluang untuk menyertai program sebegini kerana dapat membantu dalam membuat persediaan sebelum menjalani praktikum dan memasuki alam pekerjaan akan datang.
Sementara itu, Lead Malaysia Finance University Management, Micron Technology, Alice Lim telah menyampaikan sijil kepada 15 Micron Padawan.
PPKKG turut menyediakan cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada pihak Micron Technology yang disampaikan oleh Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah.
Turut hadir, Pengarah, Talent Acquisition, Micron Technology, Komathi Thannimalay dan Pegawai Psikologi PPKKG, Nur Farah Johari. – Anis Zulaikha Kamal