Education

Kejayaan pelajar UUM bergelar johan Program Pembinaan Bakat Siswa 2024

SINTOK: Program Pembinaan Bakat Siswa 2024 yang berlangsung dari 13 hingga 15 Ogos lalu di Pusat Latihan LKIM Camar Laut, Bagan Lalang telah melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang.

Program ini disertai oleh pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia dan dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pertandingan ini dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu peringkat saringan dan peringkat akhir. Selepas mengikuti program bimbingan dan menghasilkan esei kritikan sastera, peserta dinilai dalam peringkat saringan. Peringkat akhir pula dilaksanakan secara dalam talian pada 1 Oktober dan keputusan rasmi diumumkan pada 9 Oktober.

Dua pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya meraih pencapaian cemerlang dalam pertandingan ini iaitu Nurul Amira Fatehah Rafidi, pelajar Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari & Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM) muncul sebagai johan pertandingan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.

Pencapaian ini adalah sejarah buat UUM kerana inilah kali pertama UUM berjaya merangkul johan sejak pertandingan ini mula dipertandingkan.

Nurul Amira berkata, kejayaan ini adalah hasil daripada kerja keras dan sokongan semua pihak, terutamanya pensyarah pembimbing, Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid.

“Saya berharap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk terus berusaha dan menyumbang kepada dunia sastera,” katanya.

Sementara itu, Rabiatul Adawiyah Ismail yang juga merupakan pelajar BCLCIM turut meraih tempat keempat (sagu hati) dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500.

Menurutnya, penyertaan dalam pertandingan ini adalah pengalaman yang sangat berharga.

Katanya, dia belajar banyak tentang penulisan kritikan sastera dan menerima bimbingan yang sangat bernilai daripada Dr. Mohamed Nazreen.

Kedua-dua pelajar ini dibimbing oleh Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun, dan Falsafah (SLCP), Dr. Mohamed Nazreen yang memainkan peranan penting dalam membimbing dan memberi sokongan kepada pelajar dalam menghasilkan esei kritikan yang berkualiti.

Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun, dan Falsafah (SLCP), Prof. Dr. Shukri Ahmad turut berkongsi rasa bangga.

Beliau berkata, kejayaan ini membuktikan kualiti program pengajian BCLCIM yang ditawarkan oleh SLCP bukan sahaja menyediakan pengetahuan akademik yang kukuh, tetapi juga mengasah kemahiran praktikal pelajar dalam bidang kesusasteraan dan penulisan kritikan.

Pencapaian cemerlang ini bukan sahaja mengharumkan nama UUM, malah menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha dan mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum,” katanya.

Program Pembinaan Bakat Siswa 2024 bertujuan untuk mengembangkan potensi mahasiswa dalam bidang penulisan kritikan sastera, serta memupuk semangat cintakan ilmu dan kesusasteraan dalam kalangan generasi muda. – Mohd Haniff Mohammad Yusoff 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button