Education

Penyelidik SOE perkasa peranan komuniti tingkat penguasaan matematik murid luar bandar 

Gambar Nur Syafiqah Faidzul Hassan

KUBANG PASU: Pasukan penyelidik dari Institute of Excellent Teachers and Leaders in Education (IETLE), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil langkah proaktif bagi memperkasa peranan komuniti setempat dalam meningkatkan penguasaan matematik murid luar bandar melalui program pembelajaran interaktif ‘iMathKidzPlaygroup’.

Ketua Penyelidik ‘iMathKidzPlaygroup’ yang juga merupakan Pengarah IETLE, Prof. Madya Dr. Siti Nazuar Sailin berkata, program ini telah memasuki modul ketiga iaitu “Sifir Warrior” yang memberi fokus kepada teknik penguasaan sifir.

Melalui modul ini, menurutnya, peserta didedahkan dengan teknik melengkapkan kotak sifir, kaedah Kekisi (Lattice) dan kaedah Tulang Ikan bagi menyelesaikan operasi darab dan bahagi.

Katanya, pendedahan ini bertujuan memastikan murid mempunyai asas yang kukuh dan teknik yang efektif dalam menyelesaikan masalah matematik yang lebih kompleks.

Fasilitator, Aina Safina Nordin berkata, kaedah permainan interaktif telah dilaksanakan secara berkumpulan bagi meningkatkan fokus dan minat murid dalam modul ”Sifir Warrior” ini.

“Penglibatan murid dalam aktiviti berkumpulan yang melibatkan pelbagai aras kemahiran membolehkan murid yang lebih mahir membantu rakan-rakan selain meningkatkan kerjasama pasukan.

“Peserta menunjukkan sikap positif serta semangat yang tinggi dalam menjalankan aktiviti yang dirancang,” katanya.

Peserta iMathKidzPlaygroup, Mohd Fakhrul Mat Rasyid, murid Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan Tunjang meluahkan rasa gembiranya kerana dapat bersama dengan rakan-rakan menguasai sifir secara santai dan menyeronokkan.

Menurutnya, dengan menggunakan kotak sifir, dia dapat menyediakan jadual sifir dengan mudah, tanpa perlu menghafal.

Katanya lagi, kaedah Lattice dan Tulang Ikan pula membantunya menyelesaikan operasi darab dan bahagi dengan lebih pantas.

Kejayaan pelaksanaan program ini tidak hanya bergantung kepada modul pembelajaran yang interaktif tetapi juga kepada kerjasama yang padu daripada pihak komuniti seperti Majlis Ketua-ketua Kampung (MKK) Kampung Tanjung, Kampung Guar, Kampung Chegar, Kampung Pulau Timbul, dan Kampung Baru di Mukim Jeram, Tunjang serta Pejabat Penghulu Mukim Jeram yang telah memacu kelestarian dan kelancaran program ini.

Setiausaha MKK Kampung Tanjung, Sazliana Salleh berkata, pendekatan pembelajaran sambil bermain membuatkan kanak-kanak berasa lebih seronok dan teruja untuk belajar matematik, dan mereka akan lebih cenderung untuk memahami dan mengingati apa yang dipelajari.

“Saya dan rakan komuniti lain yang terlibat akan terus komited memberi kerjasama kepada pasukan penyelidik UUM bagi memastikan kelestarian program “iMathKidzPlaygroup” di dalam komuniti meskipun program selama enam minggu ini akan tamat tidak lama lagi,” katanya.

Modul ketiga ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Negeri Kedah, Zainol Abidin Mohamad. 

Modul keempat program ini akan disambung pada minggu seterusnya dengan tajuk “Ops Masalah 1”. – Mohamad Amir Rahman Mohamad Ariffin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button