Kunjungan hormat delegasi University of Anbar
SINTOK, 23 Jun 2025: Pusat Pengajian Sains Kuantitatf (SQS) menerima lawatan daripada delegasi University of Anbar, Iraq yang diketuai oleh Presiden universiti tersebut, Prof. Dr. Mushtaq Taleb Al-Neda, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dan menjalin kolaborasi strategik antara kedua-dua institusi.
Pihak delegasi Iraq mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Naib Canselor UUM dan disambut oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, dengan kehadiran bersama Dekan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Prof. Dr. Haslinda Ibrahim dan penjawat.
Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan menyambut baik kesediaan University of Anbar untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan UUM.
Beliau menekankan bahawa hubungan akademik antarabangsa seperti ini amat penting dalam meningkatkan kecemerlangan global universiti. Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa SQS akan menjadi penggerak utama dalam menjayakan pelbagai inisiatif bersama.
Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak bertukar pandangan dan aspirasi berkaitan inisiatif antarabangsa, khususnya dalam bidang penyelidikan bersama, pertukaran staf dan pelajar, serta kerjasama akademik di peringkat pascasiswazah.
Sementara itu, Prof. Dr. Mushtaq Taleb Al-Neda turut menyatakan komitmen penuh pihaknya dalam memperkukuh jalinan dengan UUM dengan menandatangani MoU pada bulan November 2025 kelak. Beliau juga sedaya upaya akan memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak demi manfaat bersama.
Delegasi Iraq juga turut dijemput untuk mengadakan perbincangan peluang kolaborasi dalam bidang akademik yang berlangsung di SQS pada hari yang sama. Dalam perbincangan tersebut, turut hadir wakil dari Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) dan Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC).
Pertemuan diakhiri dengan sesi bergambar kenangan dan pertukaran cenderamata sebagai simbol persahabatan dan permulaan kerjasama akademik dalam jangka panjang. Kunjungan ini menjadi langkah penting dalam memacu agenda pengantarabangsaan UUM dan memperkukuh kedudukan sebagai universiti pengurusan terkemuka di peringkat antarabangsa. – Nabilah Suhaimi