ABI Cultural Exchange Program cetus semangat Program Mobiliti SEFB x INASIS SME Bank di Thaksin University
Berita dan gambar Faisal Zulhumadi
PHATTALUNG, 7 Mei 2025: Program Mobiliti Antarabangsa SEFB x INASIS SME Bank, Universiti Utara Malaysia (UUM) ke Thaksin University (Kampus Phatthalung) bermula dengan penuh semangat dan keterujaan menerusi sesi ice-breaking dan pertukaran budaya bertajuk ABI Cultural Exchange Program.
Sesi yang berlangsung di Fakulti Agro dan Bio-Industri Thaksin Universityitu membuka tirai program dengan suasana yang ceria, inklusif dan penuh semangat kebersamaan antara pelajar dari pelbagai latar belakang.
Pengarah program, Muhammad Akhtar Darwisy Nozi berkata, sesi ini menjadi titik tolak penting dalam membina hubungan antarabangsa serta memperkukuh pemahaman silang budaya antara pelajar UUM dan komuniti antarabangsa.
Menurutnya, ianya turut memberi peluang kepada peserta untuk saling mengenali dalam suasana santai dan mesra.
“Sesi sebegini amat penting untuk memperkukuh jati diri pelajar dalam suasana antarabangsa.
“Kami percaya bahawa pengalaman ini bukan sahaja memperkayakan ilmu, tetapi juga mampu melahirkan mahasiswa yang lebih terbuka dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Sesi dimulakan dengan aktiviti suai kenal interaktif, di mana para peserta diberi peluang untuk memperkenalkan diri, berkongsi minat dan pandangan mereka tentang mobiliti antarabangsa, diikuti dengan persembahan kebudayaan menarik oleh pelajar Thaksin University yang mempersembahkan tarian tradisional Thailand, muzik rakyat, serta pameran busana kebangsaan, sekali gus memberikan gambaran mendalam tentang warisan budaya mereka.
Kehadiran dua penceramah jemputan dari Thaksin University, Mr. Abel Arama Hitler dari Kenya dan Miss Husra Tekin dari Turki, menjadi kemuncak sesi. Kedua-duanya berkongsi pandangan unik berkaitan kehidupan, sistem pendidikan, serta amalan budaya di negara masing-masing.
Mereka turut menekankan kepentingan membina empati, toleransi, dan sikap saling menghormati dalam menghadapi dunia yang semakin terhubung dan kompleks.
Program yang berlangsung dari 2 hingga 5 Mei ini turut merangkumi pelbagai aktiviti akademik dan bukan akademik seperti bengkel ilmiah, lawatan industri, lawatan kebudayaan serta sesi perkongsian ilmiah bersama pensyarah dan pelajar tempatan.
Peserta menyifatkan program ini sebagai pengalaman yang membuka mata dan mampu membentuk perspektif global dalam kalangan generasi muda.