AUN-QA gilap program yang berkualiti tinggi
SINTOK, 24 April 2025: Penilaian semula ASEAN University Network – Quality Assurance (AUN-QA) menjadi satu lagi langkah besar buat Universiti Utara Malaysia dalam usaha untuk menyediakan program yang berkualiti tinggi kepada pelajar.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, UUM amat menghargai profesionalisme serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para penilai sepanjang keseluruhan proses penilaian semula ini.
“Kami amat berbesar hati atas maklum balas yang membina serta cadangan yang bernas yang telah dikongsikan oleh para penilai. Pemerhatian penilai akan menjadi kompas yang sangat berharga dalam usaha kami untuk terus berkembang dan mencapai kecemerlangan akademik demi kepentingan pelajar,” katanya.
Ujarnya, inisiatif ini merupakan komponen penting dalam misi UUM untuk meningkatkan kualiti, relevan dan kedudukan antarabangsa program akademik ini.
Jelasnya, Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dengan Kepujian, di bawah Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) telah memperoleh manfaat yang besar daripada penglibatan ini.
“Kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa usaha gigih di pelbagai peringkat. Di peringkat program, kami menghargai penyediaan Laporan Penilaian Kendiri yang teliti serta penyelarasan yang lancar sepanjang proses tersebut.
“Di peringkat universiti pula, Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA) telah memainkan peranan penting dalam memastikan kerjasama yang lancar dengan Sekretariat AUN-QA dan memastikan penilaian berjalan dengan cekap dan berkesan,” ujarnya.
Sementara itu, ketua penilai, Prof. Madya Dr. Ngo Van Thuyen dari Ho Chi Minh City University of Technology and Education berkata, penilaian ini amat penting bagi meningkatkan kualiti program yang dinilai demi manfaat pelajar dan generasi akan datang.
UUM memulakan langkah dengan begitu mantap dan melakukan persediaan bagi melalui penilaian program AUN-QA. dedikasi dan usaha gigih yang telah dicurahkan bagi mempersiapkan program untuk penilaian ini amat saya hargai.
“Kecemerlangan akademik dan usaha untuk terus memperbaiki diri adalah satu perjalanan yang tidak pernah berakhir, dan saya bersyukur kerana kita dapat mengharunginya bersama dalam mengangkat institusi ini ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya faham bahawa anda telah menjalankan pelbagai usaha bagi tujuan penilaian kami. Oleh itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak pengurusan tertinggi dan warga kerja atas usaha yang telah dicurahkan untuk merealisasikannya,” katanya.
Masa dan tenaga yang didedikasikan terhadap penilaian ini memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan keupayaan UUM untuk menyediakan pendidikan berkualiti tinggi kepada pelajar dan masyarakat.