Bahasa dan Teknologi: Jejak Intelektual dari Sintok ke ibu negara
Gambar Nurin Nazirah Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 7 Januari 2026: Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan peranan dalam memperkasa bidang bahasa, ilmu linguistik dan teknologi digital, dengan melaksanakan Program Eksplorasi Bahasa di Menara Ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.
Program yang disertai oleh 35 pelajar SBLKK 3083 dari program Ijazah Sarjana Muda Linguistik dan Teknologi Maklumat dan tiga pensyarah pengiring itu mengadakan lawatan akademik ke DBP serta Universiti Malaya (UM).
Program ini turut mendapat bimbingan Prof. Madya Dr. Hishamudin Isam selaku pensyarah subjek dan penasihat rombongan, yang berperanan memantau perjalanan program serta memastikan pengisian aktiviti selari dengan objektif pembelajaran dan kebajikan peserta.

Sepanjang program tersebut, peserta mengikuti pelbagai pengisian akademik yang disusun bagi menyokong pembelajaran berteraskan gabungan bidang bahasa dan teknologi maklumat.
Lawatan ke DBP memberi pendedahan kepada pelajar terhadap bidang leksikografi, khususnya berkaitan proses pengumpulan, pendokumentasian dan pengurusan data leksikal dalam pembangunan sumber bahasa.
Sepanjang lawatan ke DBP, peserta telah mengikuti dua sesi taklimat ilmiah yang memberi fokus kepada aspek penting dalam pengurusan dan pembangunan bahasa. Taklimat pertama disampaikan oleh Perancang Bahasa dari Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Aina Mardiana Mohidin yang menghuraikan proses pembentukan istilah, standardisasi bahasa serta peranan peristilahan dalam menyokong kemajuan ilmu dan teknologi. Sesi ini turut disertai dengan aktiviti kuiz interaktif yang menguji kefahaman peserta serta meningkatkan penglibatan aktif pelajar.
Taklimat kedua pula disampaikan oleh Perancang Bahasa dari Bahagian Perkamusan, Syed Mohd Yasir Syed Ahmad, yang memberi pendedahan mendalam mengenai dunia kamus dan perkamusan, termasuk proses pengumpulan data leksikal, penyusunan entri, serta cabaran pembangunan kamus dalam era digital. Perkongsian ini membantu pelajar memahami bagaimana ilmu linguistik diaplikasikan secara praktikal dalam penghasilan sumber rujukan bahasa yang sistematik dan berautoriti.

Pendedahan yang diperoleh di DBP memberi manfaat besar kepada pelajar, khususnya dalam meningkatkan kefahaman tentang leksikografi, peristilahan dan pengurusan data bahasa, selaras dengan bidang pengajian mereka yang menggabungkan bahasa dan teknologi maklumat. Pengalaman ini juga membuka ruang kepada pelajar untuk melihat potensi kerjaya dalam bidang perancangan bahasa, perkamusan dan pembangunan aplikasi bahasa digital pada masa hadapan
Dr. Hishamudin berkata, pendedahan ini membantu pelajar memahami asas pengurusan ilmu bahasa secara sistematik dalam konteks digital.
Lawatan ke Universiti Malaya pula melibatkan pembentangan kertas kerja akademik oleh pelajar yang menggabungkan elemen linguistik dan pengaturcaraan, selaras dengan keperluan Ijazah Sarjana Muda Linguistik dan Teknologi Maklumat. Aktiviti ini memberi ruang kepada pelajar berkongsi dapatan dan idea dalam suasana akademik.
Sementara itu, Pengarah Program, Hamsaveni a/p Kalidass, memaklumkan bahawa Program Explorasi Bahasa dimulakan di Menara Ilmu dengan penglibatan peserta program sahaja.

Menurutnya, sepanjang berada di DBP, peserta menimba ilmu melalui taklimat dan perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Jabatan Peristilahan dan Leksikologi, khususnya berkaitan bidang peristilahan dan perkembangan leksikografi.
“Selepas itu, program diteruskan di Universiti Malaya yang melibatkan perkongsian ilmu dan kolaborasi dua hala antara peserta program dan warga UM, sekali gus mengukuhkan jaringan akademik serta pemahaman bersama dalam bidang bahasa,” katanya.
Peserta program, Xeoh Xing Yan menyifatkan Program Eksplorasi Bahasa sebagai pengalaman akademik yang amat bermakna dan membuka perspektif baharu terhadap bidang pengajian yang diceburi.
Menurutnya, pendedahan secara langsung di Dewan Bahasa dan Pustaka memberi peluang kepada pelajar untuk memahami aplikasi sebenar ilmu linguistik, khususnya dalam aspek peristilahan dan perkamusan yang sebelum ini hanya dipelajari secara teori di dalam kelas.

Xing Yan turut menyatakan bahawa taklimat yang disampaikan oleh pegawai DBP membantu pelajar melihat bagaimana bahasa diurus, didokumentasi dan dibangunkan secara sistematik dalam era digital.
Katanya lagi, pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman akademik, malah menyemai minat serta keyakinan pelajar untuk meneroka bidang bahasa dan teknologi dengan lebih mendalam pada masa hadapan.
“Program ini membuktikan usaha berterusan Universiti Utara Malaysia dalam memperkasa pembelajaran berasaskan pengalaman, sekali gus menyokong pembangunan ilmu bahasa yang relevan dengan keperluan era digital dan masa depan industri bahasa negara,” katanya.
Melalui pelaksanaan program ini, pelajar bukan sahaja memperoleh pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah, malah dapat memperkukuh kefahaman mereka terhadap hubungan antara bidang linguistik dan teknologi maklumat. – Husna Mohd Zaki



