Education

CEDI teroka prospek kerjasama pelancongan komuniti bersama Homestay Sedim menerusi Program IDCT 2.0

Gambar CEDI

KULIM, 21 Disember 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan lapangan dan sesi perbincangan bersama Koperasi Pelancongan Homestay Sedim Kulim Berhad bagi meneroka prospek kerjasama strategik di bawah Program Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0.

Program Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0 merupakan sebuah pertandingan berimpak tinggi anjuran Unit Keusahawanan, Bahagian Perancangan Dasar, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pasukan UUM yang diketuai oleh Pensyarah Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Raslinda Mohd Ghazali selaku mentor, bersama lima pelajar dari STHEM dan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Multimedia (SMMTC) serta pegawai CEDI telah disambut oleh Pengerusi Koperasi Pelancongan Homestay Sedim Kulim Berhad, Abdul Mutalib Che Sa dan Timbalan Pengerusi koperasi, Norzakiah Zakaria.

Pegawai Tadbir CEDI, Akmal Ahlami Md Rozai berkata, lawatan ini bertujuan mengenal pasti potensi pembangunan pelancongan komuniti berasaskan pengalaman autentik kampung melalui pendekatan pemasaran digital, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan keusahawanan sosial.

Menurutnya, program ini bertujuan memperkasakan peranan universiti sebagai pemacu pembangunan komuniti melalui pendekatan pelancongan komuniti berasaskan inovasi digital, teknologi AI dan keusahawanan sosial, selaras dengan aspirasi Community-Driven University for a Sustainable World.

Katanya, penyertaan UUM dalam IDCT 2.0 memberi tumpuan kepada pembangunan produk dan pengalaman pelancongan komuniti yang mampan serta berdaya saing, khususnya dalam menyokong agenda pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Homestay Sedim dipilih sebagai komuniti rakan strategik kerana keunikan konsep perkhidmatan yang menekankan pengalaman kampung menyeluruh dalam sambutan tetamu, berbeza daripada kebanyakan homestay yang hanya menawarkan kemudahan penginapan.

Pendekatan ini merangkumi penglibatan tetamu dalam aktiviti harian komuniti, pengenalan budaya setempat serta pengalaman kulinari tradisional yang autentik. Model pelancongan berasaskan pengalaman ini sejajar dengan tren pelancongan komuniti lestari yang semakin mendapat permintaan pelancong domestik dan antarabangsa.

Kejayaan Homestay Sedim turut diiktiraf di peringkat serantau apabila dianugerahkan ASEAN Homestay Award 2025–2027, selain pengiktirafan sebagai Desa Lestari oleh pihak KEDA, sekali gus mengukuhkan kredibilitinya sebagai destinasi pelancongan komuniti berimpak tinggi.

Lawatan dimulakan dengan sesi perbincangan yang memfokuskan kepada hala tuju kerjasama, potensi produk pelancongan komuniti serta strategi pemerkasaan pemasaran digital menerusi IDCT 2.0.

Dalam sesi penerangan, pasukan UUM diperkenalkan kepada pelbagai perkhidmatan dan produk yang ditawarkan oleh ahli koperasi Homestay Sedim, antaranya penginapan berkonsepkan suasana kampung, kuih tradisional seperti kerepek pisang dan kuih karas, kopi tumbuk tradisional serta produk agro termasuk madu kelulut. Kesemua produk ini mencerminkan kekuatan komuniti tempatan dari aspek warisan, sumber semula jadi dan amalan pengeluaran berskala kecil yang berteraskan kelestarian.

Daripada perbincangan tersebut, Kopi Tumbuk Sedim dikenal pasti sebagai antara produk berpotensi tinggi untuk diketengahkan dan dibangunkan sebagai produk signature Homestay Sedim di bawah IDCT 2.0. Produk kopi tradisional ini dihasilkan secara kecil-kecilan menggunakan kaedah tumbukan manual dan bahan organik tempatan, serta pernah mendapat liputan media arus perdana termasuk TV3 melalui pengiktirafan media tempatan Kedah. Keunikan proses penghasilan, nilai warisan dan cerita komuniti di sebalik produk ini dilihat berpotensi besar untuk diperkasakan melalui penjenamaan digital, penceritaan kandungan dan strategi pemasaran berasaskan komuniti.

Seterusnya, pasukan UUM dibawa melawat ke salah sebuah daripada 13 unit penginapan homestay yang terdapat di Sedim iaitu Rumah TokSu, diikuti lawatan ke kawasan penanaman pokok kopi dan pokok pisang yang menjadi sumber bahan mentah kepada produk komuniti. Lawatan turut merangkumi tapak perkhemahan yang dirancang untuk dibuka pada awal tahun 2026 serta kawasan rekreasi Tree Top Walk Sedim, yang berpotensi besar sebagai tarikan ekopelancongan dan aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Lawatan ini membuka ruang kerjasama strategik antara UUM dan Koperasi Pelancongan Homestay Sedim Kulim Berhad dalam membangunkan pelancongan komuniti yang mampan, berasaskan pengalaman autentik dan disokong oleh inovasi digital.

Inisiatif ini bukan sahaja dijangka memperkukuh keterlihatan Homestay Sedim di peringkat nasional dan serantau, malah menyumbang kepada agenda pembangunan komuniti serta persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui pelaksanaan Program IDCT 2.0. – Akmal Ahlami Md Rozai

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button