Education

CUIC jelajah ke E-Idaman teroka peluang kerjasama

Berita dan gambar Siti Nazirah Jaya

ALOR SETAR, 12 Mac 2025: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan kerja ke E-Idaman Sdn Bhd dalam usaha memperkukuhkan hubungan strategik dan meneroka peluang kerjasama baharu. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah CUIC ke industri dalam usaha meningkatkan kerjasama strategik dan rangkaian rakan kerjasama sekitar negeri Kedah.

Lawatan yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Bahagian Jaringan Industri CUIC, Prof. Madya Dr. Nomalisa Md Isa disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Zaki Abdul Aziz Daud dan pegawai-pegawai E-Idaman iaitu Ketua Bahagian Operasi E-Idaman, Munir Amani Dasheer; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Ahmad Fuad Abdul Rahim dan Pengurus Unit Pengurusan Pretasi (Strategi Korporat), Ahmad Zikry Badrin.

Dr. Nomalisa berkata, lawatan tersebut membuka pelbagai peluang kerjasama antara UUM dan E-Idaman, termasuk peluang pekerjaan separuh masa kepada pelajar, peluang perundingan, pembangunan kertas putih dan pembukaan Pusat Sisa Lestari baharu di Changlun bagi menyokong Program Transformasi Changlun (CTP).

Pihak E-Idaman turut menyatakan komitmen mereka untuk terus bekerjasama dengan institusi pendidikan seperti UUM dalam usaha melestarikan alam sekitar melalui program dan inisiatif yang lebih holistik.

“Mereka juga optimis bahawa usaha ini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat yang lebih prihatin terhadap kelestarian alam,” katanya.

Lawatan ini diakhiri dengan sesi perbincangan antara kedua-dua pihak bagi memperincikan bentuk kerjasama yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Kerjasama ini dijangka memberi impak positif kepada pelajar, penyelidik, dan komuniti setempat dalam meningkatkan kesedaran serta amalan kelestarian yang lebih berkesan.

Hadir sama, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh; Prof. Ts. Dr. Mohd. Rizal Razalli dan Ts. Dr. Siti Khadijah Hubadillah.

Selain itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi, dan Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Perundingan) Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CETMA), Prof. Madya Dr. Zahayu Md Yusof.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button