Generasi muda terajui inovasi siram pintar rangkai dalam dunia pertanian bandar
Gambar oleh Prof. Madya Dr. Nor Intan Saniah Sulaiman
JITRA, 23 Februari 2026: Sesi ketiga Program SMART AGRO STEM di bawah inisiatif STI 100³ Kitaran 2 melibatkan seramai 52 pelajar Darjah 5 di Sekolah Kebangsaan Malau, Jitra berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat dan dedikasi melalui aktiviti reka bentuk dan pengujian Siram Pintar Rangkai.
Seiring dengan perkembangan pertanian bandar, inovasi ini mampu memberi manfaat besar kepada komuniti dalam mengurus tanaman dengan lebih sistematik dan berkesan, terutamanya di kawasan yang berdepan kekangan masa serta sumber air.

Inisiatif ini jelas menunjukkan bahawa idea yang lahir daripada pemerhatian harian boleh dikembangkan menjadi penyelesaian praktikal bagi menangani permasalahan sebenar dalam masyarakat.
Pelaksanaan program ini dikendalikan oleh kumpulan saintis UUM yang diketuai oleh Cik Rohaiza Zakaria, bersama barisan saintis akademik: Prof Madya Dr. Nor Intan Saniah Sulaiman, Prof Madya Dr. Rahela Abdul Rahim dan Prof Madya Ts Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim yang berpengalaman dalam pendidikan STEM dan pemindahan ilmu kepada komuniti sekolah.
Guru Besar SK Malau memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran program STEM di sekolah tersebut dan berharap agar program ini dapat memberikan impak positif serta manfaat jangka panjang kepada murid-murid dalam bidang STEM.
Projek Siram Pintar Rangkai ini adalah cetusan idea penambahbaikan kepada Model B yang dibina semasa sesi kedua Program Smart Agro STEM. Model Siram Pintar Rangkai ini masih mengekalkan konsep siraman titisan air.

Menerusi projek ini, peserta diperkenalkan dengan peralatan elektronik yang berkaitan untuk membina model penyiram berangkai automatik yang menggunakan sumber tenaga bateri.
Selain daripada penambahan rangkaian dan tenaga bateri, sistem Model Siram Pintar Rangkai juga dibangunkan agar mampu mengesan tahap kelembapan tanah secara automatik dan mengaktifkan pam air apabila diperlukan.
Sistem tersebut menggunakan sensor kelembapan tanah yang disambungkan kepada mikropengawal seperti Arduino. Apabila bacaan menunjukkan tanah berada dalam keadaan kering, pam air akan berfungsi secara automatik untuk menyiram tanaman.
Sebaik sahaja tahap kelembapan mencapai paras optimum, sistem akan berhenti dengan sendirinya. Reka bentuk ini bukan sahaja menjimatkan air, malah mengelakkan risiko terlebih siram yang boleh merosakkan akar tanaman.
Sepanjang tempoh pembangunan, peserta turut menjalankan beberapa siri pengujian bagi memastikan keberkesanan sistem. Peringkat pertama, peserta menguji pengeluaran air siraman tanpa pelaras untuk menentukan pemasangan sistem yang betul.

Peringkat kedua, peserta perlu pasangkan pelaras dengan betul untuk mendapatkan pengeluaran titisan air siraman yang sesuai.
Disamping itu, semasa sesi ketiga ini, peserta juga berpeluang mengkaji pertumbuhan pokok bawang yang telah ditanam semasa sesi kedua.
Bermula dengan proses kutipan data tanaman, kemudian mereka membuat analisis data menggunakan kaedah matematik seperti carta palang, kiraan purata dan kebarangkalian pertumbuhan tanaman.
Projek ini secara amnya memberi pendedahan menyeluruh terhadap elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Peserta bukan sahaja mempelajari konsep keperluan air bagi tumbuhan, malah didedahkan kepada proses reka bentuk kejuruteraan, penyelesaian masalah teknikal serta analisis data secara sistematik.
Pendekatan pembelajaran berasaskan projek ini dilihat mampu meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dan keyakinan diri peserta. Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang berdasarkan pencapaian mereka dalam menjawab soalan-soalan yang berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dalam pertanian.
Dengan sokongan berterusan daripada pihak sekolah dan komuniti setempat, diharapkan lebih banyak projek inovasi dapat diketengahkan pada masa hadapan. Inisiatif ini bukan sahaja menyokong agenda kelestarian alam sekitar, malah melahirkan generasi muda yang kreatif, berfikiran kritis dan bersedia menghadapi cabaran dunia moden. – Cik Rohaiza Zakaria dan Prof. Madya Dr. Rahela Abdul Rahim



