GOEXPLORE BANK ISLAM: Collaborating for One platform strategik untuk perkukuh hubungan kerjasama
Berita dan gambar Dr. Adi Syahid Mohd Ali
Kuala Lumpur, 6 April 2026: Inapan Siswa (Inasis) Bank Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan program “GOEXPLORE BANK ISLAM: Collaborating for One” di Ibu Pejabat Bank Islam, baru-baru ini yang melibatkan penyertaan rombongan terdiri daripada pengetua, penolong pengetua, staf serta barisan Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPRS) Inasis Bank Islam.
Pengetua Inasis Bank Islam, Dr. Adi Syahid Mohd Ali berkata, program ini diadakan sebagai platform strategik untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama antara Inasis Bank Islam dan pihak Bank Islam, di samping membuka ruang kepada pelajar untuk memahami dengan lebih dekat ekosistem industri, pembangunan organisasi dan potensi jalinan kerjasama yang lebih mampan pada masa hadapan.

Menurutnya, sepanjang program berlangsung, peserta telah mengikuti slot pembangunan kerjaya yang memberi pendedahan berkaitan laluan kerjaya, keperluan dunia pekerjaan, pembinaan kompetensi diri serta persediaan pelajar dalam menghadapi cabaran alam pekerjaan yang semakin kompetitif. Sesi ini memberi nilai tambah kepada para pelajar dengan penekanan terhadap pembentukan bakat, kepimpinan dan profesionalisme.
Selain itu, program turut menampilkan sesi pitching yang memberi ruang kepada wakil Inasis Bank Islam untuk membentangkan cadangan rebranding Inasis Bank Islam agar terus relevan, progresif dan berdaya saing selaras dengan aspirasi pembangunan mahasiswa masa kini. Sesi ini turut menjadi medan perkongsian idea dan pandangan dalam memperkukuh identiti serta hala tuju baharu Inasis Bank Islam.

Dalam masa yang sama, satu sesi perbincangan strategik telah diadakan antara Pengetua dan staf INASIS Bank Islam bersama Unit Kewangan Sosial Islam, Bank Islam. Perbincangan ini memfokuskan kepada potensi kerjasama bagi pembangunan infrastruktur INASIS, termasuk usaha memperkasa persekitaran kediaman mahasiswa agar lebih kondusif, inklusif dan menyokong pembangunan holistik pelajar.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Inasis Bank Islam dalam membina jaringan strategik bersama rakan industri, khususnya Bank Islam, demi memperkasakan pembangunan pelajar bukan sahaja dari aspek akademik dan kepimpinan, malah dari sudut kebolehpasaran, identiti organisasi dan kemudahan infrastruktur.
Diharapkan program seperti ini akan terus menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang lebih erat antara universiti dan industri, seterusnya memberi impak positif kepada pembangunan pelajar serta pengukuhan peranan Inasis Bank Islam sebagai pusat pembentukan sahsiah, kepimpinan dan kecemerlangan pelajar.



