IHM lawat MYHAC bagi perkukuh kompetensi analisis halal
Berita dan gambar Nurul Syahidah Muhamad Puzi
NEGERI SEMBILAN, 18 November 2025: Institut Pengurusan Halal (IHM) telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Analisis Makmal Halal (MyHAC), sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuhkan kefahaman teknikal dan aplikasi MyHAC dalam pengurusan halal.
Lawatan ini disertai oleh seramai enam staf akademik dan pentadbiran IHM yang diketuai oleh Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib.

Dr. Nor Aina berkata, tujuan utama lawatan adalah untuk mendapatkan pendedahan mendalam mengenai proses analisis halal, sistem pengesahan bahan kritikal, serta peranan makmal kerajaan dalam memastikan integriti produk halal di Malaysia.
Setibanya di MyHAC, delegasi IHM disambut oleh Pengarah Kanan Jabatan Kimia 1, Norazlina Ali, yang memulakan sesi dengan taklimat pengenalan mengenai fungsi dan mandat pusat tersebut di bawah Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM).
Dalam sesi tersebut, pihak IHM diberi penerangan tentang struktur organisasi MyHAC, kepakaran analisis yang dijalankan, serta piawaian makmal yang digunakan untuk menyokong proses pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Antara aspek yang mendapat perhatian peserta adalah teknologi analisis DNA dan kimia yang digunakan bagi mengesan kehadiran bahan tidak halal seperti DNA babi atau alkohol dalam produk makanan dan kosmetik. Taklimat tersebut turut menyentuh tentang sistem jaminan kualiti makmal, pengesahan kaedah ujian, serta kerjasama strategik MyHAC dengan agensi-agensi lain termasuk JAKIM dan JAIN.

Delegasi IHM kemudiannya dibawa melawat ke beberapa bahagian penting di MYHAC seperti Makmal Analisis DNA, Makmal Kimia, dan Makmal Mikrobiologi. Dalam sesi lawatan berpandu tersebut, IHM berpeluang melihat sendiri proses penyediaan sampel, pengujian menggunakan peralatan makmal moden seperti PCR (Polymerase Chain Reaction), dan sistem penganalisis kimia yang berfungsi mengenal pasti bahan terlarang pada peringkat molekul.
Dr. Nor Aina berkata, lawatan ke MyHAC ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh kefahaman menyeluruh terhadap keseluruhan rantaian halal daripada dasar dan pensijilan hingga ke tahap analisis saintifik.
“Lawatan seumpama ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran peserta terhadap keperluan pengesahan saintifik dalam industri halal moden, selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai peneraju global dalam pensijilan halal.
“Program ini berjaya mencapai objektifnya dengan memberikan pendedahan mendalam, pengalaman pembelajaran langsung, dan membuka ruang kepada jalinan strategik antara Institut Pengurusan Halal dan MyHAC,” katanya.



