iMathKidz HOUSES ubah landskap pendidikan matematik luar bandar melalui penilaian holistik
Gambar Prof. Madya Dr. Nurliyana Bukhari dan Dr. Atiqah Talib
KUBANG PASU, 3 Februari 2026: Satu inisiatif transformatif dalam pendidikan matematik telah berjaya dilaksanakan melalui Projek Geran Transformasi Global Universiti Malaya yang diterajui oleh Prof. Madya Dr. Nurliyana Bukhari.
Projek yang dikenali sebagai iMathKidz HOUSES ini memfokuskan kepada pembangunan tool kit penilaian matematik holistik bagi murid Tahun 4 di sekolah luar bandar. Pelaksanaan projek ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pencapaian akademik, malah untuk menilai perkembangan murid secara menyeluruh merangkumi domain kognitif, afektif, dan psikomotor (CAP).

Fasa 1: Analisis Keperluan dan Keberkesanan Ujian Rintis
Perjalanan projek ini bermula dengan fasa analisis keperluan yang sangat kritikal bagi memastikan modul yang dibangunkan relevan dengan cabaran pendidikan di kawasan luar bandar. Pasukan penyelidik utama yang terdiri daripada Dr. Nurliyana selaku Ketua Penyelidik bersama Dr. Atiqah Talib, Dr. Nurul Jawahir, dan Prof. Dr. Haslinda Ibrahim telah menjalankan beberapa siri perbincangan meja bulat. Fokus utama fasa ini adalah untuk mengintegrasikan elemen Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) ke dalam aktiviti yang lebih dinamik, bermakna, dan hands-on.
Setelah kerangka modul disiapkan dan dilaksanakan melalui ujian rintis (pilot testing) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bukit Kayu Hitam, pasukan penyelidik meneliti secara dekat bagaimana murid-murid menyambut terhadap tugasan yang diberikan. Sesi temu bual bersama guru-guru matematik di SK Bukit Kayu Hitam turut dijalankan bagi mendapatkan maklum balas profesional mengenai tahap kesukaran dan kesesuaian bahasa dalam tool kit tersebut. Segala kelemahan yang dikenal pasti semasa fasa rintis ini telah direkodkan dan ditambah baik bagi memastikan modul akhir benar-benar stabil untuk skala pelaksanaan yang lebih besar.
Fasa 2: Implementasi Skala Penuh dan Sinergi Komuniti di SK Hosba
Fasa kedua menyaksikan pelaksanaan modul iMathKidz HOUSES yang telah dimurnikan di SK Hosba. Keberhasilan fasa ini didorong oleh sokongan padu daripada Guru Besar SK Hosba, Nurun Ihsan Hasbullah dan Guru Besar SK Bandar Bukit Kayu Hitam, Khalijah Othman pada ketika itu. Kepimpinan beliau dalam memudah cara urusan logistik dan memberikan akses penuh kepada fasiliti sekolah telah membolehkan pasukan penyelidik menjalankan aktiviti dengan lancar.

Di SK Hosba, keunikan terpahat pada jalinan kolaborasi yang meluas. Ia merupakan sebuah simfoni tenaga yang digerakkan oleh pasukan pelbagai lapisan demi matlamat yang satu di mana setiap pihak menjadi nadi utama yang memastikan kelancaran pelaksanaan di SK Hosba.
Pensyarah bertindak sebagai penyelia utama bagi memastikan setiap kandungan matematik yang disampaikan kekal tepat, selari dengan sukatan kebangsaan, dan memenuhi segala keperluan ciri-ciri pentaksiran yang ditetapkan. Di barisan hadapan, Guru Praperkhidmatan (merangkumi pelajar PGDE dan alumni PGDE UUM) berperanan sebagai fasilitator di lapangan yang mengaplikasikan teknik scaffolding untuk memberikan bimbingan berperingkat; pendekatan ini bukan sahaja membantu murid menyelesaikan masalah matematik yang kompleks, malah berjaya merapatkan jurang antara teori pedagogi dengan amalan sebenar di bilik darjah.
Melengkapi usaha ini, penglibatan sukarelawan pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra memberikan impak sosial yang signifikan melalui bantuan pengurusan teknikal serta sokongan moral kepada adik-adik Tahun 4, sekali gus memupuk komitmen komuniti yang jitu terhadap kejayaan STEM.
Sepanjang fasa ini, murid bukan sahaja diuji melalui pengiraan, malah melalui aktiviti psikomotor seperti pembinaan model rumah idaman dan simulasi perbelanjaan harian. Tinjauan terhadap nilai murni dan kesedaran kecerdasan buatan (AI) juga diintegrasikan bagi mengilap permata bangsa.

Fasa 3: Analisis Impak, Pembentangan Data, dan Majlis Penutupan
Projek ini mencapai kemuncaknya dalam fasa ketiga yang melibatkan majlis penutupan rasmi dan pembentangan dapatan kajian. Data yang dikumpul melalui ujian pra dan pasca menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam penguasaan konsep matematik murid. Lebih menarik lagi, hasil tinjauan domain afektif menunjukkan penurunan tahap kebimbangan (anxiety) terhadap subjek matematik, di mana murid-murid mempamerkan minat yang lebih tinggi melalui aktiviti berasaskan toolkit HOUSES.
Selain pembentangan data statistik, majlis ini turut meraikan “amusement memories” koleksi memori indah dan pengalaman bermakna yang telah terbina sepanjang kolaborasi ini.
Dr. Nurliyana dalam ucapannya menegaskan bahawa kejayaan iMathKidz HOUSES adalah bukti keberkesanan model kerjasama antara universiti, sekolah, dan komuniti setempat. Kenangan manis antara penyelidik, fasilitator, dan murid menjadi bukti bahawa pendidikan matematik boleh disampaikan dalam suasana yang menyeronokkan tanpa mengetepikan kecemerlangan akademik. – Amir Syafiq Amran (Pelajar PhD Pendidikan, Pusat Pengajian Pendidikan)



