Linguistik Digital di Pentas Akademik: Suara dan praktik pelajar UUM dan UM
Gambar Nurin Nazirah Shaharuddin dan Harshini A/p Ramesh
KUALA LUMPUR, 7 Januari 2026: Pembentangan Akademik Pelajar Linguistik dan Teknologi Maklumat (BLIT), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama pelajar Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) telah berjaya dilaksanakan di Universiti Malaya dengan penglibatan aktif pelajar kedua-dua institusi dalam pembentangan kajian berkaitan bidang linguistik.
Program ini melibatkan sebanyak 10 kumpulan pembentangan, terdiri daripada enam kumpulan pelajar BLIT, UUM dan empat kumpulan pelajar Akademi Pengajian Melayu, UM. Kumpulan pelajar BLIT membentangkan kajian yang mengintegrasikan penggunaan aplikasi dan pendekatan digital, manakala kumpulan pelajar APM membentangkan kajian linguistik berasaskan analisis akademik.

Selain itu, sebahagian kumpulan pelajar BLIT turut membentangkan projek tahun akhir, sekali gus memperlihatkan keupayaan pelajar mengaplikasikan ilmu linguistik dan teknologi digital secara lebih mendalam serta berfokuskan penyelidikan.
Pengerusi Program BLIT, Prof. Madya Dr. Mashetoh Abd. Mutalib berkata, pembentangan akademik ini dianjurkan sebagai platform pembelajaran bagi melatih pelajar menyampaikan hasil kajian secara tersusun, kritis dan beretika. Setiap sesi pembentangan turut disusuli dengan sesi soal jawab dan perbincangan membina antara pembentang, pensyarah dan para peserta.
Menurutnya, pembentangan akademik ini dianjurkan sebagai platform pembelajaran bagi melatih pelajar menyampaikan hasil kajian secara tersusun, kritis dan beretika.
“Setiap sesi pembentangan turut disusuli dengan sesi soal jawab dan perbincangan membina antara pembentang, pensyarah dan para peserta,” katanya.

Pengarah Program, penganjuran pembentangan akademik ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh kemahiran komunikasi akademik dan pemikiran kritis pelajar.
Menurutnya, penglibatan enam kumpulan pelajar BLIT yang menggunakan aplikasi digital, termasuk pembentangan projek tahun akhir, memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap keperluan penyelidikan dan kemahiran profesional dalam bidang linguistik.
“Antara kajian yang dibentangkan termasuk penghasilan kamus digital Kamus LexiHerba, penggunaan kaedah pengikisan web dalam proses pengumpulan data media sosial, serta pembangunan kamus mini digital dialek Negeri Sembilan.
“Selain itu, pembentangan projek tahun akhir yang melibatkan platform Luahan Pintar – Sintok’s Echoes, Analisis Reka Bentuk Prom bagi Integrasi Pembangunan Sistem, dan Pembangunan Sistem E-pembelajaran Sintaksis Adaptif – Sintakuiz turut memperlihatkan keupayaan pelajar mengaplikasikan ilmu linguistik dan teknologi digital secara bersepadu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kolaborasi akademik bersama pelajar Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya memberi nilai tambah kepada program ini melalui pertukaran idea dan pandangan akademik yang lebih luas.
“Program ini selari dengan objektif program BLIT yang menekankan keseimbangan antara penguasaan teori linguistik dan aplikasi teknologi digital,” katanya.
Secara keseluruhannya, Pembentangan Akademik Pelajar BLIT dan Pelajar Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memperkukuh kemahiran akademik, penyelidikan dan komunikasi pelajar serta mengeratkan jaringan akademik antara institusi pengajian tinggi. – Nurul Liyana Amran



