Lonjakan kolaborasi serantau dan promosi pengajian pascasiswazah di Universitas Negeri Padang
Berita dan gambar Muhd Zulhilmi Haron
PADANG, 8 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan agenda pengantarabangsaan program akademik melalui pertemuan rasmi bersama pihak Universitas Negeri Padang (UNP) yang berlangsung di Pejabat Rektor UNP.
Delegasi UUM yang hadir terdiri daripada lima penjawat UUM yang diketuai oleh Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad, mewakili Naib Canselor UUM.
Dr. Shuhymee berkata, pertemuan ini bertujuan membincangkan potensi kolaborasi masa hadapan antara UUM dan UNP, meneroka peluang kerjasama penyelidikan bersama serta mempromosikan program pengajian pascasiswazah UUM kepada komuniti akademik UNP.
Menurutnya, inisiatif ini seiring dengan aspirasi UUM untuk memperkukuh jaringan strategik antarabangsa, meningkatkan peluang penyelidikan bersama dan dalam masa yang sama membuka akses lebih luas kepada komuniti akademik serantau untuk meneroka peluang pengajian pascasiswazah di UUM.
UNP turut menzahirkan komitmen untuk meneliti aspek teknikal pelaksanaan kerjasama ini. Pertemuan tersebut sekali gus memperkukuh hubungan strategik UUM dan UNP dalam usaha memartabatkan pendidikan serta melahirkan graduan pascasiswazah yang berdaya saing di peringkat global.