Majlis Graduasi Padawan 5.0 perkukuh kerjasama industri dan akademia
Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal
IPOH, 6 Januari 2026: Program Zurich Takaful Padawan 5.0 telah melabuhkan tirainya dengan penganjuran majlis graduasi yang berlangsung dengan penuh bermakna selepas dua hari pengisian program yang berimpak tinggi kepada pembangunan pelajar.
Program Zurich Takaful Padawan 5.0 merupakan insiatif Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) di bawah School of Hard Knocks (SoHK) dengan kerjasama Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB) yang bukan sahaja memberi pendedahan langsung kepada industri takaful, malah membentuk pelajar yang lebih berkeyakinan, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan sebenar.

Pada hari pertama program, pelajar telah diberikan tugasan oleh pihak ZTMB untuk menjalankan tinjauan berkaitan tahap kesedaran masyarakat terhadap insurans dan takaful di sekitar kawasan Botani, Ipoh bagi mendapatkan maklum balas secara langsung daripada orang awam.
Tugasan ini secara tidak langsung telah membantu pelajar mengasah kemahiran komunikasi, meningkatkan keyakinan diri, memupuk semangat kerja berpasukan serta memberi pendedahan kepada situasi sebenar interaksi dengan masyarakat. Selepas selesai tugasan, program diteruskan dengan aktiviti riadah pickleball bersama wakil Zurich Takaful HQ Ipoh dan SRA Agensi yang bertujuan mengeratkan hubungan serta membina semangat kekitaan antara pelajar dan pihak industri.
Majlis graduasi dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengurus Jualan Wilayah Utara, ZTMB, Azita Abu Hadzim yang menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen dan kesungguhan pelajar sepanjang program berlangsung.

Menurutnya, program ini merupakan satu inisiatif penting dalam melahirkan generasi muda yang celik kewangan, beretika serta berani meneroka peluang kerjaya dalam industri takaful.
Seterusnya, Ketua Pengurus Agensi, SRA Agensi, Shah Rizal AzmiĀ dalam ucapannya menekankan kepentingan pendedahan awal kepada persekitaran industri sebenar dan berharap program seperti ini dapat menjadi batu loncatan kepada pelajar untuk membina kerjaya yang mampan dalam bidang kewangan dan takaful.
Majlis dirasmikan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Zainuddin Omar yang menyatakan bahawa kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan pihak industri amat penting dalam melahirkan graduan holistik yang seimbang dari segi akademik, kemahiran insaniah dan kebolehpasaran graduan.
Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian sijil kepada pelajar yang telah berjaya menamatkan program yang disampaikan oleh Dr. Zainuddin Omar dan diiringi oleh Azita Abu Hadzim, Shah Rizal Azmi serta Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah.

Pelajar dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Nurul Huda Najwa Muhammad Helmy telah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik sepanjang satu semester program Zurich Takaful Padawan 5.0 dijalankan atas pencapaian dan komitmen cemerlangnya.
Selain itu, Anisah Muhammad Ashur dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dan Nurain Najiha Zainurin dari SEFB turut menerima baucar Zus Coffee selepas berjaya memenangi anugerah Best TikTok Interview.
Majlis turut diserikan dengan sesi pertukaran cenderamata antara UUM dan pihak ZTMB sebagai simbol penghargaan serta jalinan kerjasama yang erat.



