Education

Matematik lebih seronok dengan DAMAS

PADANG BESAR, 25 Jun 2025: Keceriaan jelas terpancar di wajah 64  pelajar Tahun 5 dan Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Rimba Mas apabila berpeluang   menyertai satu program pembelajaran matematik berasaskan pendekatan STEM yang berlangsung di dewan terbuka sekolah mereka seawal jam 9 pagi.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif STI 100³ anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertujuan memupuk minat pelajar dalam bidang STEM melalui aktiviti interaktif dan menyeronokkan.

Program yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Sharmila Karim, bersama dua lagi pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia, iaitu Profesor Madya Dr. Hashibah Hamid dan Puan Yuhaniz Ahmad, memberi tumpuan kepada penguasaan sifir melalui teknik congakan dan permainan inovatif dalam aktivti yang pertama ini.

Aktiviti dimulakan dengan sesi mencongak sifir 2 hingga sifir 9 menggunakan pendekatan mudah dan interaktif.

Suasana menjadi lebih meriah apabila pelajar menunjukkan keterujaan terhadap kaedah yang diperkenalkan, yang dilihat lebih mudah difahami dan diikuti berbanding teknik tradisional.

Tidak ketinggalan, Guru Besar SK Felda Rimba Mas dan guru-guru juga turut mengambil peluang mempelajari sendiri kaedah congak sifir yang diperkenalkan dalam program ini, menunjukkan sokongan dan komitmen terhadap inovasi dalam pengajaran Matematik.

Bagi menguji tahap pemahaman pelajar terhadap sifir yang telah diajar, mereka kemudiannya dipecahkan kepada 16 kumpulan dan bermain permainan Dam Angkasa, atau lebih dikenali sebagai DAMAS – sebuah permainan hasil ciptaan pensyarah SQS sendiri.

Permainan ini menggabungkan elemen strategi permainan dam tradisional dengan cabaran soalan sifir yang pelbagai, menjadikannya alat pembelajaran yang unik dan menyeronokkan.

Dalam sesi refleksi selepas tamat permainan, Afiah, pelajar Tahun 5, meluahkan keterujaannya.

“Permainan DAMAS sangat menyeronokkan, lebih-lebih lagi bila dapat jawab soalan dengan betul.”

Manakala Aira, juga pelajar Tahun 5, berkongsi pandangan bahawa kaedah congak dan permainan ini sangat membantu dalam menguasai sifir dari 2 hingga 9 dengan lebih berkesan.

Keseronokan dan semangat pelajar sepanjang program ini menjadi bukti bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan permainan mampu meningkatkan kefahaman dan minat mereka dalam mata pelajaran Matematik. – Yuhaniz Ahmad

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button