Education

Pelajar Program BAH Kohort 4 hayati warisan dan budaya silam melalui Eksplorasi Lembah Bujang

Berita dan gambar Muhammad Najmudin Nadzri​

MERBOK, 3 Jun 2025: Seramai 32 pelajar Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan (BAH) Kohort 4, Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menyertai Program Eksplorasi Lembah Bujang: Menelusuri Jejak Warisan dan Budaya pada 25 Mei lalu di Muzium Arkeologi Lembah Bujang.

Pensyarah, Dr. Naizatul Akma Mohd Mokhtar berkata, program seperti ini membuka peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman secara langsung serta memperkukuh minat terhadap sejarah menerusi pendekatan yang terkini.

Menurutnya, program ini memberi penekanan kepada pendekatan pembelajaran di luar bilik kuliah menerusi lawatan tapak serta aktiviti berbentuk interaktif.

Antara aktiviti utama termasuk sesi eksplorasi tapak ekskavasi arkeologi serta pembuatan inskripsi menggunakan aksara Pallava yang membuka peluang kepada para pelajar memahami secara langsung kaedah dan amalan arkeologi lapangan.

Pelajar turut menyertai kuiz yang menguji pengetahuan berkaitan sejarah Tapak Arkeologi Lembah Bujang, sekali gus memperkukuh pemahaman terhadap sejarah awal Kedah dan peradaban yang pernah wujud di kawasan tersebut.

Bagi menyemarakkan semula elemen budaya tradisional, program ini juga menampilkan segmen Jom Main Permainan Tradisional yang merangkumi aktiviti seperti lipatan destar dan samping, persembahan silat serta permainan rakyat seperti boling kelapa, tuju tin, timbang bulu ayam, dan musang berjanggut.

Sementara itu, peserta, Muhammad Najmudin Nadzri, turut menyuarakan rasa teruja atas peluang untuk mendekati tinggalan sejarah secara terus.

“Melihat sendiri struktur candi, menelusuri tapak ekskavasi dan menyentuh artifak lama membuka perspektif baharu kepada kami sebagai mahasiswa sejarah gunaan,” katanya.

Selain memberi pendedahan akademik, program ini juga memperkukuh hubungan dalam kalangan mahasiswa dan tenaga pengajar, di mana enam pensyarah turut serta iaitu Dr. Nor Azlah Sham Rambely, Dr. Rashidah Mamat, Dr. Jazliza Jamaludin, Dr. Aszlan Selamat dan Dr. Yusry Sulaiman.

Penglibatan aktif pensyarah dalam setiap aktiviti telah mewujudkan suasana mesra dan menyokong perkembangan kemahiran insaniah pelajar seperti komunikasi, kerjasama dan penyelesaian masalah.

Program Eksplorasi Lembah Bujang ini dijangka menjadi titik mula kepada lebih banyak inisiatif pembelajaran sejarah bersifat lapangan yang dapat memupuk semangat cintakan warisan serta kesedaran terhadap kepentingan pelestarian sejarah dalam kalangan generasi muda.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button