Pelajar UUM dekati Orang Asli Baling selami budaya dan adat resam
Berita dan gambar Dr. Norzalinda Mohd Ali Hanafiah
BALING, 1 Januari 2026: Program Ubuntu Anak Angkat Orang Asli: UUM Memperkasa Komuniti Tersisih anjuran pelajar Kursus SSWSK2153 Perancangan dan Pembangunan Komuniti, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berlangsung selama dua hari pada 26 dan 27 Disember lalu di Perkampungan Orang Asli Lubuk Legong, Baling.

Pensyarah Kursus SSWSK2153 Perancangan dan Pembangunan Komuniti, Dr. Norzalinda Mohd Ali Hanafiah berkata, program anjuran kerjasama dengan Great Vision Charity Association dan Persatuan Kerja Sosial ini bertujuan untuk merapatkan hubungan antara pelajar UUM dengan komuniti Orang Asli, meningkatkan nilai empati, prihatin dan toleransi serta memberi pendedahan tentang budaya, adat resam dan cara hidup Orang Asli di kawasan pedalaman.
Menurutnya, sepanjang program berlangsung, pelajar UUM yang menjadi anak angkat telah ditempatkan bersama enam keluarga angkat Orang Asli secara berkumpulan dan menjalankan aktiviti memasak bersama keluarga angkat masing-masing.

Selain itu, katanya, pelajar juga menjalankan beberapa aktiviti lain termasuklah motivasi pendidikan, kraftangan, sukaneka dan juga kelompok sokong bantu golongan ibu Orang Asli.
Pelajar juga turut berkesempatan menyampaikan sumbangan barangan terpakai, barangan baru, barangan dapur, baby kit dan susu kotak Dutch Lady yang disumbangkan oleh warga kampus UUM, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat termasuklah Persatuan Buai Sayang, Pertubuhan Kebajikan Prihatin Kedah dan Kiah Liong Sdn. Bhd.
Secara keseluruhannya, Program Ubuntu telah mencapai objektifnya dan memberi pengalaman serta kenangan bermakna buat semua yang terlibat.
Program ini juga berjaya mengukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.



