Education

Pelajar UUM akan dilengkapkan latihan asas AI sebelum tamat belajar

SINTOK, 11 Mac 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mendahului langkah dalam transformasi pendidikan dengan memastikan setiap pelajarnya menerima latihan asas kecerdasan buatan (AI) sebelum bergraduat.

Sebagai persiapan ke arah itu, pensyarah terlebih dahulu diberi pendedahan awal menerusi program “Microsoft AI TEACH” hasil kerjasama antara UUM dan Microsoft Malaysia.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 24 Februari lalu menghimpunkan 200 pensyarah dari pelbagai bidang di seluruh pusat pengajian UUM.

Mereka menerima latihan langsung daripada enam tenaga pakar Microsoft, bukan sahaja dalam aspek teknikal AI, tetapi juga tentang etika dan aplikasinya dalam pendidikan serta penyelidikan.

Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail yang mewakili Naib Canselor, Dato’ Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa inisiatif ini selari dengan Dasar Utama UUM 2025 dalam memperkukuh ekosistem pendidikan dan penyelidikan yang berasaskan teknologi.

Sementara itu, AI National Skills Director Microsoft, Supahrat Juramongkol melahirkan keterujaan kerana program ini mencatat sejarah sebagai latihan AI bersemuka terbesar anjuran Microsoft di Malaysia.

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad pula berkata, kejayaan program ini juga membuka ruang kepada UUM untuk memperluas inisiatif AI kepada komuniti setempat melalui Projek Transformasi Changloon UUM.

Lebih daripada sekadar latihan pensyarah, program ini menjadi pemangkin kepada revolusi pendidikan di UUM.
Dengan perancangan rapi, setiap graduan UUM bakal memiliki pengetahuan dan kemahiran AI, sekali gus memenuhi tuntutan industri serta memperkukuh daya saing mereka di peringkat global. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button