Pelajar UUM rangkul dua pingat emas di IIEF 2026 dan VIC 2026
Berita dan gambar Ts. Dr. Chuah Lai Fatt
KULIM, 8 Julai 2026: Satu detik yang amat membanggakan buat universiti! Di bawah penyeliaan Ts. Dr. Chuah Lai Fatt, pasukan inovasi yang terdiri daripada Teh Ru Wei dan Lee Jia Ying telah mencapai satu kejayaan cemerlang dengan memenangi DUA Anugerah Pingat Emas dalam International Innovation & Exhibition Fair 2026 (IIEF 2026) yang dianjurkan oleh Kolej Mara Kulim dan Virtual Innovation Competition (VIC) 2026 anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Pencapaian yang membanggakan ini mencerminkan kecemerlangan pasukan dalam bidang inovasi serta komitmen mereka dalam memajukan penyelesaian maritim yang mampan.

Pertandingan inovasi berprestij ini telah menghimpunkan peserta daripada institusi pengajian tinggi dan organisasi untuk mempamerkan idea kreatif serta inovasi teknologi. Projek mereka yang bertajuk “Ship Energy Efficiency Solution App” telah mendapat pengiktirafan tinggi daripada panel juri atas sumbangannya terhadap kelestarian maritim dan transformasi digital.
Ship Energy Efficiency Solution App merupakan sebuah platform digital yang direka untuk memudahkan pengurusan pematuhan karbon serta meningkatkan kecekapan tenaga dalam industri maritim.
Aplikasi ini membolehkan pengendali kapal memantau prestasi operasi, mengurangkan pelepasan karbon dan mematuhi peraturan antarabangsa selaras dengan IMO Net-Zero 2050 targets. Penyelesaian ini turut menyokong operasi maritim yang lebih mampan, cekap dan berasaskan data.
Sekalung tahniah sekali lagi diucapkan kepada Ts. Dr. Chuah Lai Fatt, Teh Ru Wei dan Lee Jia Ying atas pencapaian yang amat membanggakan ini, serta kejayaan mengharumkan nama universiti melalui kecemerlangan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.



