Peluang program Dual-Degree dibincang antara SOC dan Ludong University
Gambar oleh Nurul Athirah Mohamad Zayuky
SINTOK, 5 Mac 2026: Hubungan akademik antarabangsa terus diperkukuhkan apabila Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima lawatan rasmi delegasi dari Ludong University, China, bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Delegasi yang diketuai oleh Timbalan Dekan, School of Computer Science, Zhang Yuling, bersama seorang pensyarah dari School of Computer Science and Artificial Intelligence serta wakil dari School of Regional and International Studies, Zhou Qian dan Fan Chen Chen.
Ketibaan delegasi disambut oleh Dekan SOC, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali dan penjawat SOC.
Menurut Prof. Ts. Dr. Osman, lawatan ini membuka peluang kepada kedua-dua institusi untuk meneroka kerjasama yang lebih luas dalam bidang pengkomputeran dan teknologi digital.
“Lawatan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan akademik antara UUM dan Ludong University sekaligus membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang pengkomputeran dan teknologi di peringkat antarabangsa” katanya lagi.

Sementara itu, Zhang Yuling menyatakan bahawa lawatan ini memberikan peluang untuk meningkatkan kolaborasi strategik dan memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam bidang sains komputer dan teknologi.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk cadangan pelaksanaan Program Sarjana Muda Sains Komputer dan Teknologi dan juga potensi kerjasama penyelidikan dalam bidang seperti Kecerdasan Buatan (AI) serta mobiliti pelajar dan staf antara kedua-dua universiti. – Nurul Azalia Razak



