Education

Pendebat UUM juara Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2026

Gambar Media Selangor

KUALA SELANGOR, 22 Jun 2026: Pasukan debat Universiti Utara Malaysia mengharumkan nama universiti apabila beraya merangkul gelaran juara Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2026, sekali gus membawa pulang wang tunai RM8,000 berserta sijil pencapaian dan trofi.

Dua pendebat UUM iaitu Faris Daniel Rizal Zainorrizal dan Muhammad Tirmizi Rabidin berjaya mengetepikan pasukan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang masing-masing mendapat naib johan dan tempat ketiga.

Selain itu, Faris Daniel turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Akhir yang membolehkanyya membawa pulang wang tunai RM500 berserta trofi.

Faris Daniel, 23, berkata, pertandingan tersebut meningkatkan keyakinan golongan belia untuk menyuarakan pandangan, khususnya berkaitan isu yang memberi kesan kepada masyarakat.

“Debat ini meningkatkan keyakinan kepada belia sebab kadang-kadang kita ada pendapat tetapi tidak ada medium untuk suarakan.

“Debat Piala MB Selangor ini platform yang baik dan saya gembira sebab dapat gunakan platform ini untuk anak Selangor membicarakan tentang isu-isu dalam negeri Selangor,” katanya.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang itu berkata, antara cabaran utama pertandingan ialah peserta hanya diberikan tajuk 30 minit sebelum perdebatan bermula.

“Kita tidak dapat buat persediaan daripada awal. Itu sebenarnya mencabar kami punya tahap nak mencari fakta, buat kajian dan soalan. Jadi Alhamdulillah cabaran itu dapat kami (tempuh) sama-sama,” katanya.

Rakan sepasukannya, Muhammad Tirmizi, 23, turut meluahkan rasa syukur apabila pasukan mereka berjaya mara dari peringkat suku akhir hingga ke pentas akhir sebelum dinobatkan sebagai juara.

“Alhamdulillah kami menang di suku akhir, separuh akhir dan akhirnya berjaya ke pusingan akhir hari ini,” katanya.

Naib johan dimenangi Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menerima RM5,000 berserta sijil dan trofi, manakala Universiti Teknologi Petronas (UTP) di tempat ketiga membawa pulang RM2,000 berserta sijil dan trofi.

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pula menduduki tempat keempat dan memenangi wang tunai RM1,000 berserta sijil dan trofi.

Sementara itu, Muhammad Haries Husni dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan dan menerima wang tunai RM300 berserta trofi.

EXCO Perpaduan, Datuk Rizam Ismail mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari telah merasmikan majlis penutupan pertandingan di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC). – Media Selangor dan Nordiana Shafiee

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button