Pengurusan TVET UUM bina hubungan strategik dengan Perodua untuk latihan TVET dalam bidang automotif
Gambar Kamal Khalid
RAWANG, 6 Julai 2026: Pengurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Universiti Utara Malaysia (UUM)-TVET UUM, telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Perodua di Rawang sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam memperkukuhkan jaringan strategik bersama industri automotif negara.
Pihak Perodua diwakili oleh Pengurus Besar Kanan, Mariam Ibrahim dan Timbalan Pengurus Besar Pembangunan dan Pembelajaran, Sharul Faizal Sharudin serta Nur Izzati Osman dari Bahagian Sumber Manusia, manakala delegasi TVET UUM diketuai oleh Pengarah TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad dan Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Pengantarabangsaan), Kamal Khalid.

Dr. Shanusi berkata, pertemuan ini merupakan platform penting bagi kedua-dua pihak untuk berkongsi pendekatan terkini dalam memperkasakan pembangunan bakat berkemahiran tinggi melalui ekosistem TVET dalam bidang automotif.
Sesi perbincangan dimulakan dengan taklimat pengenalan Pengurusan TVET UUM yang memberi tumpuan kepada pencapaian semasa TVET UUM, khususnya berkaitan pelaksanaan program persijilan Kemahiran Malaysia, peluang kerjasama dalam membangunkan program TVET berasaskan keperluan industri, serta latihan berkemahiran bertaraf industri yang mampu memenuhi standard dan jangkaan sektor automotif.
Turut dibincangkan ialah usaha pengukuhan kerjasama strategik antara UUM dengan syarikat Perodua serta pelaksanaan model pembelajaran bersepadu yang menggabungkan teori akademik dengan latihan amali di persekitaran industri sebenar bagi memenuhi keperluan sektor automotif pada masa hadapan.
Dalam sesi yang sama, pihak Pengurusan TVET UUM turut mempromosikan peluang melanjutkan pengajian di UUM kepada seluruh warga kerja Perodua, merangkumi program di peringkat Sarjana mahupun Doktor Falsafah. Tawaran ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pihak Perodua yang bersetuju untuk mengadakan perbincangan susulan yang lebih khusus bagi meneliti program-program pengajian sarjana yang bersesuaian dengan keperluan pembangunan sumber manusia syarikat.

Pihak TVET UUM turut membentangkan model pembangunan TVET yang direka bentuk secara holistik, mengintegrasikan elemen kolaborasi industri dengan pembangunan modal insan secara menyeluruh. Model ini menggambarkan komitmen UUM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dari segi teknikal, malah turut memiliki nilai profesionalisme yang memenuhi kehendak sebenar industri. Pengalaman dan input berharga yang diperoleh melalui pertemuan ini akan dimanfaatkan sebagai asas rujukan dalam mengukuhkan inisiatif transformasi TVET UUM, seterusnya menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan Dasar TVET Negara.
Kunjung hormat ini secara keseluruhannya mencerminkan kesungguhan dan komitmen Pengurusan TVET UUM dalam memperluas jaringan industri serta mengeratkan hubungan dengan pihak korporat bagi tujuan pembangunan ekosistem TVET yang kukuh dan responsif.
Kerjasama strategik dengan Perodua dijangka dapat membuka laluan baharu ke arah mewujudkan program TVET berasaskan industri yang relevan, praktikal, dan mampu melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat nasional.
Pihak Pengurusan TVET UUM akan terus menjadikan pendekatan kerjasama bersama industri sebagai teras utama dalam merangka hala tuju TVET yang dinamik, relevan, dan selaras dengan keperluan pembangunan negara serta agenda nasional pemerkasaan TVET Malaysia. – Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad



