Program Equation Expert pacu pemikiran kritis pelajar sekolah rendah
Gambar Prof. Madya Dr. Adyda Ibrahim
KANGAR, 4 Februari 2026: Sekolah Kebangsaan Abi menjadi medan pemerkasaan kreativiti dan pemikiran matematik menerusi penganjuran program Equation Expert yang dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program yang melibatkan seramai 51 murid Tahun 6 ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Rosshairy Abdul Rahman, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi, Dr. Mohammad Zukuwwan Zainol Abidin dan Prof. Madya Dr. Adyda Ibrahim.

Dr. Rosshairy berkata, penganjuran program ini bertujuan untuk memupuk minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sejak peringkat awal pendidikan.
Sepanjang program berlangsung, murid terlibat secara aktif dalam aktiviti kreatif mencipta persamaan matematik yang unik dan mencabar, sekali gus menggalakkan pemikiran aras tinggi, kemahiran menyelesaikan masalah serta persaingan secara sihat dalam kalangan peserta.
Kejayaan pelaksanaan program ini turut disokong oleh komitmen dan kerjasama padu guru-guru Sekolah Kebangsaan Abi yang terlibat secara langsung dalam membantu pengurusan, pemantauan serta bimbingan pelajar sepanjang aktiviti dijalankan.

Program Equation Expert merupakan sebahagian daripada Program STI 1003 – Bijak Nombor, Bijak Minda di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran berfikir kritis, kreativiti serta semangat kerjasama dalam kalangan pelajar sekolah.
Penganjuran program seumpama ini dilihat mampu menjadi pemangkin dalam melahirkan generasi pelajar yang berdaya saing, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, selaras dengan aspirasi negara untuk memperkukuh ekosistem pendidikan STEM. – Prof. Madya Dr. Rosshairy Abdul Rahman



