Education

Program Kesedaran Koperasi Siswa tingkat kesedaran dan pemahaman pelajar terhadap gerakan koperasi

Gambar Nur Aleeya Izzati Nordin

SINTOK, 6 Julai 2026: Program Kesedaran Koperasi Siswa 2026 merupakan anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) dengan kerjasama Pusat Kokurikulum, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menghimpunkan seramai 138 pelajar dengan tujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman pelajar terhadap gerakan koperasi sebagai platform pembangunan keusahawanan, di samping memupuk semangat kepimpinan, kerjasama dan keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Program dimulakan dengan sesi perkongsian mengenai hala tuju penubuhan Koperasi Siswa (KOSISWA) UUM yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Canselori merangkap Penasihat Koperasi Siswa (KOSISWA) UUM, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi.

Beliau menerangkan peranan koperasi siswa sebagai medium yang mampu memperkasakan pembangunan ekonomi mahasiswa di samping memupuk semangat kepimpinan, kerjasama dan tanggungjawab dalam kalangan warga kampus. Peserta turut didedahkan kepada proses penubuhan koperasi, struktur organisasi serta peluang yang boleh dimanfaatkan melalui penglibatan aktif dalam KOSISWA.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Kedah, Wilayah Kubang Pasu, Fitri Mahamad Aziz.

Dalam sesi ini, beliau menjelaskan konsep, fungsi dan kepentingan koperasi dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat serta peranan gerakan koperasi dalam melahirkan usahawan dan pemimpin masa hadapan.

Beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif serta peluang yang disediakan oleh SKM bagi menggalakkan penyertaan mahasiswa dalam sektor koperasi.

Sesi terakhir menampilkan Pengurus MS Masha Enterprise, Datin Shasha Abdul Rahman yang berkongsi pengalaman serta peluang keusahawanan melalui Program Pembangunan Usahawan Five Star Chicken (FSC).

Melalui perkongsian tersebut, peserta didedahkan kepada model perniagaan yang ditawarkan, pengalaman sebenar dalam mengurus perniagaan serta peluang untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai salah satu pilihan kerjaya selepas tamat pengajian.

Sepanjang program berlangsung, peserta menunjukkan komitmen dan penglibatan yang aktif dalam setiap sesi melalui soal jawab serta perbincangan bersama para penceramah.

Pengisian yang disampaikan bukan sahaja meningkatkan pengetahuan berkaitan gerakan koperasi, malah memberi inspirasi kepada mahasiswa untuk meneroka bidang keusahawanan sebagai satu platform pembangunan diri dan kerjaya.

Program Kesedaran Koperasi Siswa 2026 berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan gerakan koperasi serta memperluaskan pemahaman mengenai peluang keusahawanan yang tersedia.

PPKS berharap program seumpama ini akan terus menjadi platform yang berkesan dalam melahirkan pelajar yang berpengetahuan, berdaya saing, berintegriti dan bersemangat untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui penglibatan aktif dalam koperasi serta bidang keusahawanan. – Farah Ain Zati Basir

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button