Program khidmat masyarakat jelajah bahasa rentasi negara
ALOR SETAR: Unit Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Pusat Dakwah Alor Setar.
Program ini dijalankan atas jemputan khas oleh pihak Pusat Dakwah melalui Prof Madya Dr. Mohd Nizho Abdul Rahman selaku Presiden Pusat Dakwah dan merangkap pensyarah di SLCP.
Ketua Unit Bahasa Antarabangsa SLCP, Nasrol Hadi Ahmad Shukeri berkata, program ini bertujuan mempromosikan Pusat Dakwah dan Unit Bahasa Antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan sosial dan pendidikan masyarakat setempat.
Selain itu, menurutnya, program CSR ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan bahasa serta budaya dalam kalangan komuniti setempat.
Seramai 70 pelajar KAFA bersama tenaga pengajar dan 20 staf dari Unit Bahasa Antarabangsa terlibat dalam program ini.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuk kelas bahasa antarabangsa asas untuk kanak-kanak serta sesi interaktif memperkenalkan pelbagai budaya dari seluruh dunia.
“Saya rasa bangga dan berpuas hati dengan sambutan yang diterima.
“Kami berbesar hati dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan pelajar-pelajar KAFA di Pusat Dakwah kerana program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah turut memberi pendedahan kepada pelajar tentang bahasa dan budaya negara-negara luar,” katanya.
Selain itu, pihak Pusat Dakwah Alor Setar turut menyatakan penghargaan kepada Unit Bahasa Antarabangsa SLCP, UUM atas usaha murni ini.
Sementara itu, Pegawai Tadbir Pusat Dakwah, Muhammad Yusni Yaakob berkata, program ini amat bermakna dan memberi impak positif kepada pelajar-pelajar di sini.
Menurutnya, kerjasama seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.
Dengan pelaksanaan program CSR seperti ini, UUM bukan sahaja memperkukuhkan hubungan dengan komuniti setempat tetapi juga membuktikan komitmen dalam menjalankan tanggungjawab sosial ke arah pembangunan masyarakat yang lebih baik. – Zeety Kartini Abdul Hamid