Education

Program ST11003 : MathMania cetus semangat matematik murid Tahun 6

Berita dan gambar Dr. Sharmila Karim

SIK, 23 April 2025: Program STI1003: MathMania di bawah anjuran Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda, baru-baru ini.

Program tersebut diketuai oleh Dr. Zurina Hanafi bersama dua rakan pensyarah iaitu Azatulifah Alwi dan Prof. Madya Dr. Sharmila Karim bersama dua pelajar yang bertindak sebagai pemudah cara sepanjang program berlangsung.

Dr. Zurina berkata, seramai 56 murid Tahun 6 telah mengambil bahagian dalam program ini yang bertujuan memupuk minat serta membina kemahiran menyelesaikan masalah matematik secara kreatif dan menyeronokkan.

Antara aktiviti utama ialah Ace of Math, di mana murid diberi satu set kad operasi untuk digunakan secara kreatif bagi mendapatkan nilai sasaran yang diberikan secara rawak.

Murid-murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi menggalakkan kerjasama, komunikasi, dan pemikiran kritis dalam menyelesaikan cabaran yang diberi.

Aktiviti ini telah memberikan pengalaman pembelajaran yang santai, menyeronokkan, dan bermakna, apabila murid dapat menyelesaikan masalah matematik secara tidak formal tetapi berkesan.

Pada sesi penutup, program dimantapkan lagi dengan perkongsian oleh Dr. Zurina, yang memperkenalkan teknik pengiraan sifir secara mudah menggunakan jari serta mengaitkan aktiviti Ace of Math dengan aplikasi dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam membuat keputusan secara logik.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button