Education

Program STI MADANI, jelajah STEM@UUM berjaya semai minat terhadap STEM kepada pelajar Pulau Langkawi

Gambar AJK Multimedia, Program STI MADANI

LANGKAWI, 9 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah berjaya menganjurkan Program Sains, Teknologi & Inovasi (STI) MADANI, Jelajah STEM@UUM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra, Pulau Langkawi, baru-baru ini.

Program ini merupakan usaha signifikan kementerian dan SQS dalam memperkasakan minat pelajar sekolah menengah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan modal insan berteknologi tinggi.

Ketua Program, Prof. Madya Dr. Nor Aishah Ahad berkata, objektif utama program adalah menyemai minat pelajar terhadap sains dan teknologi serta mendedahkan mereka kepada aplikasi STEM dalam dunia sebenar melalui kaedah pembelajaran interaktif dan berasaskan pengalaman.

Menurutnya, inisiatif STI MADANI ini merupakan langkah proaktif yang penting dalam menyokong visi negara. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sentiasa komited dalam usaha membudayakan sains, teknologi, dan inovasi bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan peningkatan daya saing negara menuju ke tahap negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Oleh yang demikian, pemerkasaan STEM adalah salah satu agenda utama MOSTI, dan program Jelajah STEM@UUM ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan, dan kemajuan berteraskan ilmu pengetahuan serta inovasi.

Program ini secara langsung berhasrat untuk mengubah persepsi lama pelajar terhadap bidang STEM. Ramai pelajar sekolah menengah cenderung menganggap subjek-subjek ini mencabar dan sukar dikuasai, justeru mengurangkan minat mereka untuk memilih aliran STEM di peringkat pengajian yang lebih tinggi. Menerusi pendekatan interaktif dan aktiviti yang relevan dengan kehidupan seharian, MOSTI dan SQS berusaha memperkenalkan STEM sebagai sesuatu yang menyeronokkan, mudah difahami, dan amat penting.

Usaha ini adalah kritikal dalam membangunkan modal insan berkualiti yang dapat memberi manfaat kepada keluarga dan negara, khususnya dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4 iaitu Pendidikan Berkualiti.

Seramai 100 orang pelajar menengah rendah, masing-masing 25 orang daripada empat sekolah berbeza – SMK Ayer Hangat, SMK Kelibang, SMK Kedawang, dan SMK Tunku Putra – telah menyertai program ini bersama 12 orang guru pengiring.

Program yang diketuai oleh Dr. Nor Aishah ini dibantu oleh ahli pasukan SQS yang berdedikasi, iaitu Dr. Nor Hisham Haron, Dr. Mohd Azri Pawan Teh, Dr. Shanizan Herman Mohd Radzi, Dr. Nur Azulia Kamarudin, Dr. Teh Yuan Ying, dan Dr. Ch’ng Chee Keong yang bertungkus-lumus memastikan setiap aktiviti berjalan lancar dan berkesan, membuktikan peribahasa Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, dalam menjayakan inisiatif pembudayaan STI MADANI ini.

Sebanyak empat aktiviti utama yang santai dan mencabar minda telah dijalankan: Tangram, Match Maths, Wira Menara, dan Ace of Maths. Pelajar didapati sangat teruja dan seronok sepanjang aktiviti berlangsung, bukan sahaja kerana elemen persaingan yang sihat, tetapi juga kerana pendekatan yang mudah difahami dan menyeronokkan, sekali gus menghilangkan persepsi bahawa subjek STEM itu sukar.

Pengalaman ini bukan sahaja menambah minat mereka terhadap STEM, malah menunjukkan bahawa pembelajaran di luar bilik darjah mampu menjadi kunci untuk membuka potensi minda, ia seperti menyelam sambil minum air, iaitu berhibur sambil menimba ilmu.

Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Sains dan Matematik, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Rozaini Othman yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada MOSTI atas sokongan inisiatif dan pasukan SQS atas kesudian turun padang memupuk minat STEM dalam kalangan pelajar sekolah.

Beliau turut berharap agar setiap pelajar yang menyertai program ini akan berkongsi ilmu dan pengalaman yang diperoleh dengan rakan-rakan pelajar lain, menjadikannya satu langkah ke hadapan dalam meningkatkan literasi STEM di negeri Kedah. – Dr. Mohd Azri Pawan Teh

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button