Education

SEFB dan JFKL perkukuh hubungan strategik sempena ulang tahun ke-10

Berita dan gambar SEFB

KUALA LUMPUR, 11 Mac 2025: Bersempena dengan ulang tahun ke-10 hubungan strategik antara Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL), beberapa program berimpak tinggi telah dirangka bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua institusi tersebut.

Delegasi SEFB diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri bersama Dr. Normizan Bakar dan Muhammad Ridhuan Bos Abdullah telah mengadakan lawatan rasmi ke JFKL atas jemputan untuk menghadiri JFKL Talk. Kunjungan ini bukan sahaja memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan, tetapi juga memperkukuh jalinan kerjasama yang sedia terjalin.

Ketibaan delegasi SEFB telah disambut mesra oleh Pengarah JFKL, Tsukamoto Norihisa bersama Ketua Bahagian Kebudayaan JFKL, Furubashi Rina, dan Pegawai Bahagian Kebudayaan JFKL, Farrah Ammar.

Perbincangan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra ini turut merangkumi cadangan pelaksanaan program-program kolaboratif yang mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua institusi serta masyarakat umum.

Antara inisiatif utama yang sedang dalam perancangan ialah pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang dijangka akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi akademik dan kebudayaan antara UUM dan JFKL. Langkah ini diambil bagi mengeratkan lagi hubungan dan memperluaskan ruang kerjasama dalam pelbagai bidang.

Selain itu, satu sesi Ambassadorial Talk turut dirancang, yang bakal menampilkan Duta Besar Jepun ke Malaysia bagi menyampaikan syarahan umum kepada warga UUM. Syarahan ini bertujuan memberikan pendedahan kepada warga universiti mengenai hubungan diplomatik serta kerjasama akademik dan budaya antara Malaysia dan Jepun.

Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ini, satu Pameran Malaysia-Jepun akan diadakan di UUM sempena lawatan Tuan Yang Terutama Duta Besar Jepun yang dijangka berlangsung pada Oktober 2025.

Kerjasama erat antara SEFB dan JFKL dijangka akan terus berkembang dalam pelbagai bidang, selari dengan visi UUM dalam memperkukuh hubungan antarabangsa bagi memacu kecemerlangan akademik.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button