SOC UUM perkukuh jaringan akademik dan komuniti bersama Politeknik Negeri Bengkalis
Berita dan gambar Gs. Dr. Nur Suhaili Mansor
BENGKALIS, 15 Jun 2026: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan rasmi ke Politeknik Negeri Bengkalis (Polbeng), Indonesia pada 9 hingga 12 Jun lalu.
Rombongan SOC UUM ini diketuai oleh Dekan SOC, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali bersama pasukan delegasi SOC bagi memperkukuhkan hubungan akademik, penyelidikan, penerbitan jurnal, jaringan institusi serta kerjasama komuniti antara UUM dan rakan strategik di Indonesia.

Lawatan ini diadakan atas jemputan Dr. Agus Tedyyana dari Politeknik Negeri Bengkalis (Polbeng), yang turut menyusun dan menyelaraskan pelaksanaan program sepanjang tempoh keberadaan delegasi SOC UUM di Bengkalis.
Delegasi SOC UUM turut menerima sambutan baik daripada pihak pengurusan Polbeng, termasuk Direktur Politeknik Negeri Bengkalis, Ir. Johny Custer, S.T., M.T., Wakil Direktur I Bidang Akademik, Ir. Romadhoni, S.T., M.T., serta pensyarah dan staf Polbeng.
Dr. Osman berkata, program ini merupakan salah satu usaha strategik SOC dalam mempromosikan program akademik yang ditawarkan di Pusat Pengajian Pengkomputeran khususnya, serta memperkenalkan Universiti Utara Malaysia secara amnya kepada institusi pendidikan tinggi di Indonesia.
Menurutnya, melalui sesi perkongsian dan perbincangan yang diadakan, delegasi SOC turut memperkenalkan peluang pengajian, kepakaran akademik, bidang penyelidikan, potensi penyeliaan pascasiswazah serta ruang kolaborasi dalam bidang pengkomputeran, teknologi maklumat, sistem maklumat, kecerdasan buatan, analitik data dan inovasi digital.

“Selain promosi akademik, lawatan ini turut memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang penerbitan jurnal dan penyelidikan.
“Perbincangan yang berlangsung membuka ruang kepada pelaksanaan penyelidikan bersama, penerbitan artikel akademik, penganjuran seminar, mobiliti staf dan pelajar, serta pembangunan jaringan kepakaran rentas institusi. Program ini juga melibatkan penyertaan rakan akademik dari institusi lain, antaranya Dr. Apri Siswanto dari Universitas Islam Riau (UIR), serta Dr. Elgamar dari Universitas Islam Kuantan Singingi (UNIKS),” katanya.
Di samping aktiviti akademik, delegasi SOC turut menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di kebun kelapa di Desa Pambang Baru. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk mendekati komuniti setempat, memahami aktiviti ekonomi masyarakat tempatan serta memperkukuh hubungan silaturahmi antara ahli akademik, institusi pendidikan dan masyarakat.

Secara keseluruhannya, lawatan SOC UUM ke Politeknik Negeri Bengkalis ini telah berjaya memperkukuhkan hubungan institusi, memperkenalkan program akademik SOC dan UUM, membina jaringan penyelidikan dan penerbitan, serta menyantuni komuniti setempat melalui aktiviti CSR.
Program ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik antara UUM dan institusi pendidikan tinggi di Indonesia pada masa hadapan.



