UUM Leads bakal anjur “Train in HRDC Accredited Trainer” bersama IKP Sabah
Gambar Andy Bachtiar Ibrahim
SINTOK, 24 Mac 2025: Sesi pendedahan untuk Program “ Accredited Trainer” oleh Pengurus Unit Latihan dan Konsultasi UUM Leads, Andy Bachtiar Ibrahim ke Institut Kajian Pembangunan (Sabah) telah membuka peluang baharu untuk adakan Program Train the Trainer kepada 25 orang bakal peserta terpilih dari IDS Sabah yang dijangka akan berlangsung dari 15-19 Mei depan di negeri ini.
Latihan dan taklimat awal berkaitan program ini telah diadakan di Dewan IDS turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul.
Kejayaan ini adalah hasil perbincangan lalu untuk membentuk satu program latihan melibatkan peningkatan kompetensi pegawai dan jurulatih bagi melayakkan mereka mendapatkan Accredited Trainer oleh HRD Corp.
Sepanjang taklimat kepada semua peserta yang dipilih, UUM Leads juga akan terus bekerjasama dengan IDS Sabah untuk program latihan berimpak tinggi selain kerjasama penyelidikan.
Program kerjasama lain juga turut akan disesuaikan dengan aktiviti Institut Kajian Pembangunan (Sabah) yang boleh melibatkan pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) secara amnya.
Andy Bachtiar akan mengendalikan aspek latihan, manakala Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad pula akan mengendalikan dari segi kerjasama penyelidikan yang boleh disesuaikan dengan visi dan misi serta perancangan IDS (Sabah) untuk dilaksanakan.
Program latihan yang dirancang ini bakal membuka peluang kepada semua bakal peserta bergelar Accredited Trainer dan boleh menyumbang kembali untuk semua komuniti Sabah nanti.
Sementara itu, Dr. Ramzah turut menyarankan agar bakal peserta program Accredited Trainer nanti dapat memainkan peranan melalui latihan-latihan termasuk bidang-bidang yang melibatkan kemahiran yang boleh memberi impak kepada komuniti dari segi peningkatan pendapatan dan peluang membuka perniagaan.
Beliau turut berterima kasih kepada pihak UUM Leads kerana mengambil tindakan proaktif dalam membantu pihak IDS dalam merangka program latihan yang berpotensi untuk ditawarkan pada masa akan datang yang boleh melibatkan semua terutamanya komuniti setempat sekitar negeri Sabah.
Beliau berharap dengan pemerkasaan pegawai dan penyelidik dari IDS ini dapat membantu IDS melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang kompeten terutamanya di negeri Sabah.
Turut hadir, Penyelaras Pengurusan TVET CUIC, UUM yang juga seorang HRDC Accredited Trainer, Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad. – UUM Leads