UUM perkukuh polisi MOOC dan Micro-Credential menerusi Bengkel UUMFeLco Siri ke-5
Berita dan gambar Nur Izzatul Natasya Raymee Syam
LANGKAWI, 29 Januari 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan ekosistem pembelajaran fleksibel dan sepanjang hayat menerusi penganjuran Bengkel UUMFeLco Siri 5 yang berlangsung dari 7 hingga 10 Disember tahun lalu di Nadias Hotel Chenang.

Bengkel ini menjadi platform strategik bagi menambahbaik Kerangka Ekosistem Pembelajaran Fleksibel dan Sepanjang Hayat UUM, di samping memurnikan beberapa garis panduan pelaksanaan berkaitan Massive Open Online Courses (MOOC) dan Micro-Credential (MC). Fokus utama bengkel adalah kepada penyelarasan kefahaman, penilaian kebolehlaksanaan serta penambahbaikan amalan pelaksanaan berdasarkan keperluan sebenar warga akademik dan sistem sokongan universiti.
Antara pengisian utama bengkel ialah sesi perkongsian oleh Pengasas bersama Skolar Malaysia Sdn. Bhd. (Skolar), Dr. Mohammad Tazli bin Azizan dan Brandon Liau yang membincangkan amalan perkongsian keuntungan bagi pembangunan dan penawaran kursus MOOC serta Micro-Credential. Perkongsian ini menekankan prinsip ketelusan, keadilan sumbangan akademik serta kepentingan model yang mampan antara universiti, pensyarah dan rakan strategik.
Brandon turut berkongsi perspektif industri dan operasi digital melalui pengalaman praktikal berkaitan pengurusan platform pembelajaran, kebolehskalaan kursus serta amalan terbaik dalam menyokong kelestarian penawaran pembelajaran dalam talian.

Input daripada pihak industri ini memberi sumbangan penting kepada perbincangan bengkel, khususnya dalam membantu pasukan UUM menilai kesesuaian cadangan garis panduan dari sudut realiti operasi, sokongan teknologi dan kapasiti pelaksana di peringkat universiti. Pendekatan ini menyokong pembangunan garis panduan yang lebih pragmatik, kontekstual dan berfokus kepada kebolehlaksanaan.
Ketua Penyelidik UUMFeLco, PM Dr. Nurliyana Bukhari berkata, selain pembangunan kerangka dan garis panduan, aspek kelestarian sumber manusia turut menjadi tumpuan utama bengkel ini, khususnya peranan pasukan sokongan instruksional dalam membimbing dan menyokong pensyarah UUM membangunkan kursus MOOC dan Micro-Credential secara berterusan.

Beliau turut menyifatkan inisiatif ini sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang universiti untuk memperkukuh pembelajaran fleksibel dan sepanjang hayat, selari dengan hala tuju awal Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035.
Secara keseluruhan, Bengkel UUMFeLco Siri ke-5 ini menyumbang kepada pemantapan berperingkat kerangka ekosistem dan garis panduan pelaksanaan MOOC dan Micro-Credential UUM, selari dengan komitmen universiti untuk memperkukuh pembelajaran digital yang berkualiti, inklusif dan mampan melalui pendekatan yang realistik serta berteraskan kapasiti institusi.



