Education

UUM sertai taklimat National Training Week (NTW) 2025

17 April 2025: HRD Corp telah memperkenalkan National Training Week (NTW) atau Minggu Latihan Kemahiran Kebangsaan buat pertama kalinya pada tahun 2023. NTW ialah pergerakan pembangunan kemahiran utama Malaysia yang berperanan menawarkan akses percuma kepada peluang pembelajaran dan pembangunan individu daripada semua latar belakang.

Objektif pelaksanaan NTW adalah untuk memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia di samping memanfaatkan pengetahuan yang pelbagai untuk membentuk tenaga kerja yang mahir, kompetitif dan saling berhubung merentasi industri dan negara.

Baru-baru ini, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri Prof. Chandrakantan Subramaniam, mewakili Universiti Utara Malaysia telah dijemput bagi menyertai taklimat NWT 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 21 Jun 2025.

Tujuan sesi ini diadakan adalah bagi memberi peluang kepada HRD Corp untuk memberikan penerangan lebih lanjut mengenai NTW 2025 selain mengeratkan hubungan kerjasama antara HRD Corp dengan KPT dan sektor pendidikan tinggi.

Sebagai usaha menyokong inisiatif ini, setiap Universiti Awam (UA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) disaran untuk menggalakkan penyertaan pelajar dan kakitangan dalam kursus-kursus yang ditawarkan di platform NTW.

Selain itu, UA dan IPTS juga adalah disaran untuk mendaftar sebagai penyedia latihan dan kursus di platform NTW dan e-Latih bagi mengetengahkan program dan kepakaran yang terdapat di institusi masing-masing agar dapat dimanfaatkan oleh rakyat.

Dalam ucapan aluan Oleh Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Hameed Dawood turut menyatakan NTW 2025 kali ini menyasarkan 1 juta pelajar melalui 70,000 program latihan dan 1,000 aktiviti berimpak tinggi bagi menyediakan tenaga pekerja mahir untuk industri yang terlibat.

Acara ini akan menampilkan pelbagai program termasuk Forum Menteri untuk transformasi tenaga kerja, Program Penyertaan Neurodiversity, inisiatif peningkatan PKS dan sesi latihan lain yang berfokuskan kepada industri.

NTW 2025 yang bertemakan ‘Learning Beyond Borders’, menekankan transformasi tenaga kerja serantau. Inisiatif ini menggalakkan latihan rentas sempadan dan kerjasama pensijilan dalam ASEAN, bercita-cita untuk menjadi karnival latihan serantau terbesar di dunia.

Pada sesi taklimat tersebut, majlis disempurnakan dengan ucapan pembukaan  daripada Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Prof.   Dr. Azlinda Azman.

Penyertaan UUM dalam NTW 2025 mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat dan menyokong pembangunan modal insan negara. Program yang ditawarkan oleh UUM terbuka kepada pelajar, profesional, pencari kerja, dan masyarakat umum secara percuma. – CUIC

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button