Education

UUM wakili Malaysia dalam Bengkel Antarabangsa STI ASEAN–Jepun 2026 di Bangkok

Gambar ASEAN University Network (AUN)

BANGKOK, 3 Mac 2026: Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Siti Khadijah Hubadillah telah dipilih sebagai salah seorang 2026 STI Coordination Fellows bagi menyertai Training Workshop for the Next Generation of Science, Technology and Innovation (STI) Leaders 2026 yang berlangsung pada 24 hingga 26 Februari lalu di Holiday Inn Bangkok Sukhumvit, Thailand.

Bengkel anjuran bersama ASEAN University Network (AUN), AUN/SEED-Net dan Japan-ASEAN Science, Technology and Innovation Platform (JASTIP) ini menghimpunkan wakil universiti dari negara ASEAN dan Jepun bagi memperkukuhkan peranan penyelaras STI dalam menangani cabaran serantau seperti perubahan iklim, keselamatan tenaga dan pembangunan lestari.

Program tiga hari bertemakan “From Strategy to Impact: Developing Practical Skills for STI Coordination and Collaboration” ini memberi fokus kepada pembangunan kemahiran kepimpinan, pengurusan projek, tadbir urus inovasi bertanggungjawab serta pembinaan jaringan penyelidikan antarabangsa.

Peserta turut didedahkan kepada peluang pembiayaan dan kerjasama penyelidikan melalui sesi bersama agensi seperti JICA, JST dan institusi rakan di Jepun.

Dr. Siti Khadijah berkata, penyertaan ini membuka ruang untuk memperluaskan rangkaian kerjasama antara UUM dan institusi di ASEAN serta Jepun, khususnya dalam memperkasakan koordinasi penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi.

Beliau turut melihat peluang untuk memanfaatkan inisiatif seperti Program Seed-Funding yang ditawarkan kepada para penyelaras STI bagi membangunkan jaringan kolaborasi awal sehingga USD4,000 bagi setiap pemohon.

Pemilihan wakil UUM dalam program berprestij ini mencerminkan komitmen universiti sebagai institusi pengurusan yang aktif menyumbang kepada agenda sains, teknologi dan inovasi di peringkat serantau.

Penyertaan ini dijangka memberi nilai tambah kepada usaha UUM dalam memperkukuhkan ekosistem penyelidikan, jaringan industri dan kerjasama antarabangsa yang lebih strategik pada masa hadapan. – Dania Hazwanie Salahuddin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button