Pertandingan Bintang Asli Remaja martabat seni tradisional
KUANTAN, 25 November 2024: Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang menjadi saksi kemeriahan Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2024 yang berlangsung dengan penuh gemilang.
Acara ini berjaya mengetengahkan bakat luar biasa generasi muda dalam seni lagu asli, sekali gus memartabatkan warisan budaya Melayu.
Bagi kategori lelaki, Kreative Talent dari Pusat Budaya dan Seni (PBS), Muhammad Auranzeb Berembi, pelajar Program Sarjana Muda Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif mewakili Perlis berjaya meraih tempat ketiga.
Auranzeb membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan turut dianugerahkan Vokal Terbaik yang menerima tambahan RM1,000 sebagai pengiktirafan terhadap mutu vokalnya yang memukau.
Peserta dari Negeri Sembilan dinobatkan sebagai johan membawa pulang hadiah RM5,000, diikuti tempat kedua dari Selangor yang membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.
Bagi kategori perempuan, Nur Zahirah Zuraimi, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Operasi yang mewakili Kedah memperoleh tempat keempat yang membolehkannya menerima piala iringan sebagai penghargaan terhadap usaha dan persembahan yang cemerlang.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris.
Dalam ucapannya menyatakan rasa kagum terhadap bakat dan dedikasi peserta untuk meneyrtai pertandingan tersebut.
“Acara ini bukan sahaja menonjolkan bakat seni anak muda tetapi juga menjadi platform penting untuk memelihara dan mempromosikan seni budaya tradisional kita,” katanya.
Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2024 membuktikan bahawa seni lagu asli terus mendapat tempat di hati generasi muda dan menjadi simbol kebanggaan budaya bangsa. – Zunaida Bahadur