SCARLA Band harumkan nama UUM di pentas Battle Of The Band 2026
Gambar Haris Zharfan Shuhaimi
PULAU PINANG, 26 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan reputasinya dalam bidang seni dan kebudayaan apabila kumpulan SCARLA di bawah seliaan Kelab Muzik, Pusat Budaya dan Seni (PBS) UUM, berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Battle of The Bands (BOTB) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sempena Sambutan Hari JPJ ke-80.
Dalam persaingan sengit tersebut, kumpulan Nada Stereo (UPSI) dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, manakala tempat kedua dimenangi oleh Difficulties (ASWARA) yang menerima RM7,000. Kumpulan SCARLA (UUM) pula berjaya meraih tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM5,000 hasil persembahan yang bertenaga, kreatif dan penuh keyakinan.

Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM, Dr. Azhar Abu Bakar @ Dr. Azmeer melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian tersebut dan menyifatkannya sebagai bukti kemampuan pelajar UUM untuk bersaing di peringkat nasional dalam bidang seni persembahan.
Menurutnya, kejayaan ini mencerminkan keberkesanan latihan berterusan, disiplin tinggi serta bimbingan sistematik yang dilaksanakan oleh PBS UUM dalam melahirkan bakat pelajar yang berkualiti.
“Penyertaan dalam pertandingan berprestij seperti ini bukan sahaja memberikan pengiktirafan kepada universiti, malah menjadi platform penting bagi pelajar UUM untuk menimba pengalaman, membina keyakinan diri serta memperkukuh kemahiran persembahan di pentas sebenar,” katanya.
Pertandingan yang berlangsung meriah di Stadium Batu Kawan bersempena Karnival Jom Heboh Pulau Pinang 2026 itu menyaksikan penyertaan enam buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terkemuka termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). – Muhammad Ezzuan Kamarul Zaman



