General

SPRM Kedah sedia bantu perkasa UIUUM

ALOR SETAR: Delegasi Unit Integriti, Universiti Utara Malaysia (UIUUM) telah mengadakan lawatan strategik ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Negeri Kedah bagi membuka lembaran hubungan antara UIUUM dan SPRM Negeri Kedah.

Lawatan strategik yang diketuai oleh Ketua Unit Integriti UUM, Muzamil Mahmud disambut oleh Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail.

Ahmad menyifatkan lawatan tersebut sebagai sesuatu yang positif dalam usaha SPRM membantu agensi awam khususnya UUM dalam pelaksanaan aktiviti berkaitan integriti dan pencegahan rasuah.

Menurutnya, pihak SPRM Kedah menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh UIUUM dan SPRM Kedah bersedia untuk menghantar pegawai bagi membantu UUM dalam sebarang aktiviti penerangan dasar anti rasuah yang akan dilaksanakan.

Katanya, dalam hal ini, SPRM Kedah akan melihat kesesuaian bagi sebarang keperluan aktiviti yang bakal diwujudkan nanti untuk mengenalpasti konteks kerjasama yang akan disalurkan.

Lawatan yang berlangsung hampir dua jam itu antara lain membincangkan cadangan UIUUM untuk memperkasa dasar dan polisi pengurusan integriti khususnya dalam membina rangka Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP), seiring dengan pentafsiran dan pematuhan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Muzamill turut menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama erat bersama SPRM Kedah dari aspek penyaluran penasihatan dan kepakaran agar segala prosedur berkaitan tatakelola, tadbir urus dan pencegahan rasuah organisasi sentiasa mengikut landasan yang betul.

“UIUUM akan merangka dan melaksanakan Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah. Ini penting bagi membudayakan serta menerapkan kefahaman integriti dalam kalangan staf UUM.

“Bagaimanapun, modul yang dibangunkan perlulah profesional, kemas dan praktikal. Untuk tujuan ini, kita (UIUUM) perlu khidmat nasihat daripada pihak SPRM Kedah untuk menasihat, memantau dan menilai kandungan modul yang bakal dibangunkan,” katanya.

Dalam pertemuan itu juga, Muzamil menghargai kesediaan SPRM untuk membantu UIUUM memberi penerangan berkenaan dengan perincian pelaksanaan peralihan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP 2019-2023) kepada Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS 2024-2028).

Menurutnya, hal ini penting supaya wujudnya komitmen tinggi terhadap keakuran ke atas kandungan polisi tersebut.

Turut hadir dalam sesi lawatan strategik tersebut adalah pegawai-pegawai Integriti UUM dan Pegawai Penguasa SPRM Kedah. – Roslee Mardan

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button