General

UUM Terajui Inovasi Akuaponik dan Tilapia Retort Perkasa Ekonomi Komuniti ATM

Gambar oleh: Mohd Fuad Hamid

KLUANG, JOHOR, 12 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh peranannya sebagai universiti pengurusan terkemuka dengan menerajui inisiatif pemindahan ilmu menerusi Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Majlis peluncuran program strategik ini telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, bertempat di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Kem Batu 3, Kluang, baru-baru ini.

Delegasi UUM ke majlis tersebut telah diketuai oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Murtadha, bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), wakil Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), serta barisan penyelidik yang terlibat dalam menjayakan agenda nasional ini.

Sinergi UA-Industri: Memperkasa Sosioekonomi BAKAT
Program Ekonomi MADANI merupakan kolaborasi strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH). Matlamat utamanya adalah untuk memindahkan kepakaran teknologi dan ilmu daripada universiti awam (UA) kepada komuniti kem ATM, khususnya ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT), demi menjana pendapatan sampingan dan meningkatkan taraf hidup.

Setelah kejayaan Fasa 1 pada tahun 2024 yang melibatkan 42 projek rintis, Fasa 2 (2025) kini menyaksikan perluasan skop ke 52 buah kem ATM di seluruh negara dengan penglibatan 20 buah universiti awam.

UUM Terajui Empat Projek Utama dengan Peruntukan RM570,000
Di bawah seliaan CUIC, UUM telah diamanahkan untuk melaksanakan empat projek berimpak tinggi dalam Fasa 2 ini dengan nilai peruntukan keseluruhan mencecah RM570,000. Projek-projek tersebut merangkumi:

Akuaponik & Produk Tilapia Retort (TLDM Lumut)

Fertigasi Sayuran (Kem Pengkalan Hulu)

Fertigasi Sayuran (Kem Sungai Petani)

Madu Kelulut (Kem Bukit Kayu Hitam)

Semasa sesi tinjauan, Prof. Dr. Murtadha telah memberikan penerangan ringkas kepada YB Menteri Pertahanan mengenai potensi Projek Akuaponik & Produk Tilapia Retort yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohammad Farizal Bin Rajemi. Inovasi ini bukan sahaja fokus kepada penternakan, malah memberikan nilai tambah melalui teknologi pembungkusan ‘retort’ yang membolehkan produk dipasarkan dengan lebih meluas bagi menjana pendapatan komuniti.

Komitmen Kelestarian dan Hasil Nyata
Menurut Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, kementerian amat berpuas hati dengan keupayaan peserta dalam menguruskan projek yang dibangunkan. Beliau menegaskan bahawa bimbingan rapi daripada pihak universiti adalah kunci utama bagi menjamin kelestarian setiap projek ekonomi yang dijalankan.

“Program ini adalah bukti nyata keberkesanan pemindahan ilmu dari menara gading terus kepada masyarakat. Kita mahu melihat setiap projek ini mampu berdikari dan memberi pulangan jangka panjang kepada warga ATM,” ujar beliau.

Sebagai simbolik kejayaan awal program ini, YB Menteri turut menyerahkan cek bernilai RM10,150 kepada wakil BAKAT, hasil daripada jualan berkelompok madu kelulut yang melibatkan 17 buah kem ATM di seluruh negara.

Penglibatan aktif UUM dalam Program Ekonomi MADANI ini membuktikan komitmen universiti dalam menterjemahkan penyelidikan akademik kepada solusi praktikal yang mampu mengubah landskap ekonomi komuniti setempat secara inklusif dan mampan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button