SPAKS lahir pegawai yang kompeten dan membawa misi perubahan
Gambar Shamsaimi Ezil
KUALA LUMPUR, 23 Januari 2025: Sijil Profesional Asas Kerja Sosial (SPAKS) adalah bukti cerminan dedikasi dan komitmen pekerja sosial mampu menjadi kompeten dan sedia hadapi cabaran pada masa hadapan.
Program SPAKS yang bermula pada 2023 antara kerjasama Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melahirkan seramai 198 graduan yang bergraduasi hari ini.
Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri yang meraikan graduan SPAKS mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang berjaya menamatkan pengajian tersebut.
Beliau berkata, ini mencerminkan dedikasi dan komitmen graduan untuk mencapai impian walaupun berdepan cabaran yang bukan hanya menganggap sebagai kerjaya tetapi membawa misi perubahan.
Menurutnya, Program SPAKS merupakan satu inisiatif penting untuk membentuk pegawai menjadi lebih kompeten dan sedia menangani isu sosial yang semakin kompleks kini.
“Pekerja sosial tidak memerlukan empati tetapi kemahiran praktikal. Justeru, melalui kokurikulum ini dapat membantu meningkatkan keupayaan kakitangan dari pelbagai latar belakang.
“Graduan SPAKS juga adalah ejen perubahan yang membawa harapan baru kepada masyarakat yang memerlukan sokongan dan bimbingan. Jadi, usaha keras ini tidak pernah sia-sia,” katanya pada Majlis Graduasi Sijil Profesional Asas Kerja Sosial (SPAKS) di Pullman Hotel, hari ini.
Nancy berkata, setiap langkah membawa impak positif kepada masyarakat yang memerlukan bantuan dan perhatian, tambahan pula Malaysia menghadapi pelbagai cabaran termasuk bakal menjadi negara menua.
Menurutnya, ini adalah satu cabaran yang memberi tekanan besar, oleh itu, pekerja sosial perlu dilengkapi kemahiran terkini seperti data raya (Big Data) dan sebagainya.
Katanya, program SPAKS ini juga adalah satu usaha penting dalam melahirkan pekerja sosial yang sedia hadapi cabaran masa hadapan dengan cekap dan profesional.
Seramai 198 graduan terdiri 79 orang dari Kohort 1 hingga 3 bagi tahun 2023 dan 119 orang dari Kohort 1 hingga 4 bagi tahun 2024 menamatkan pengajian mereka.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, majlis graduasi hari ini merupakan hasil gerak kerja yang telah dimulakan pada tahun 2023 di mana satu Memorandum Perjanjian (MoA) antara ISM dan UUM telah dimeterai.
Menurutnya, MoA ini memfokuskan kerjasama dalam melaksanakan Program Sijil Profesional Asas Kerja Sosial (SPAKS).
Katanya, program SPAKS merupakan latihan yang bermatlamat untuk menghasilkan pekerja sosial yang profesional yang mempunyai kompetensi dalam menjalankan perkhidmatan kepada kumpulan sasaran.
“Sehingga kini, sebanyak tujuh kohot SPAKS telah berjaya dihasilkan dan seramai 198 peserta meliputi pegawai dan kakitangan skim (S) dari gred 19 hingga 44 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengikuti program ini dan lulus dengan jayanya.
“Modul latihan yang dihasilkan ini adalah tailor-made dengan mengambil kira keperluan semasa JKM dan juga keperluan profesionalisme bidang kerja sosial,” katanya.
Dr. Mohd Foad turut mengalukan kakitangan KPWKM dan agensi di bawah naungannya yang berpotensi dan bermotivasi untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan menyediakan peluang pengajian bagi mereka yang mempunyai pengalaman kerja berkaitan bidang kerja sosial bagi program ijazah sarjana muda.
Di samping itu, beliau juga mengalu-alukan pegawai-pegawai di kedua-dua jabatan yang berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah.
Majlis turut meraikan tujuh graduan terbaik bagi setiap kohort.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff; Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan; Pengarah ISM, Dr. Faridah Awang dan Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Prof. Madya Dr. Md Zawawi Abu Bakar.