General

Unit Bahasa Antarabangsa dan Sahabat PEYATIM Kedah/Perlis santuni anak yatim berbuka puasa

Gambar Mohd Farid Md Yusoff

PERLIS, 10 Mac 2025: Mengambil semangat bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Unit Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia dengan kerjasama Sahabat Peyatim Kedah/Perlis telah menganjurkan Program Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim di Rumah Anak Yatim Mak Teh, Perlis bersama 12 anak yatim.

Program bertujuan untuk meraikan anak-anak yatim serta memberikan mereka kegembiraan dan kasih sayang dalam suasana kekeluargaan telah diserikan oleh Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

Majlis dimulakan dengan sesi tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Dr. Suryadi Marzuki, staf dari Unit Bahasa Antarabangsa dan juga alumni UUM. Beliau memberi pencerahan tentang hikmah dan kelebihan bulan Ramadan.

Seterusnya, program turut diserikan dengan sesi pemberian sumbangan makanan kering dan duit raya kepada anak-anak yatim. Pihak penganjur berharap sumbangan ini akan  dapat memberikan keceriaan anak-anak ini dalam menyambut bulan Ramadan.

Pengarah Program, Mohd Farid Md Yusoff berkata, program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan anak-anak yatim, malah mengajar nilai-nilai murni seperti empati dan keprihatinan.

Sementara itu, Tan Sri Mohd Radzi menyatakan rasa kesyukuran beliau dan berharap agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai anak yatim mendapat perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya.

“Dengan adanya program sebegini, nilai kemanusiaan dan kepedulian dalam masyarakat dapat diperkukuh, sesuai dengan ajaran Islam yang menitikberatkan konsep kebajikan dan persaudaraan.

“Semoga usaha ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Hadir sama, setiausaha dan kakitangan Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh Perlis dan AJK Sahabat PEYATIM Kedah/Perlis.- Zeety Kartini Abdul Hamid

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button