UUM ringankan beban hulur bantuan keperluan asas bayi dan wanita
Gambar SELECT dan MPP UUM
SUBANG JAYA, 6 April 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan komitmennya dalam membantu komuniti dengan menggerakkan pasukan sukarelawan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights dengan membawa bantuan asas kepada kanak-kanak serta wanita yang merupakan mangsa kepada insiden letupan paip gas, baru-baru ini.
Misi bantuan yang diselaras oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini meliputi barangan asas kepada rutin seorang ibu dan kanak-kanak termasuk bayi iaitu tuala muka, tuala wanita, lampin pakai buang, kapas, tisu basah, tisu kering serta pelembap muka.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan turut disertai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, semalam.
Dr. Mohd Foad berkata, usaha ini sebagai tanda keprihatinan dan solidariti dalam membantu masyarakat yang memerlukan terutama kepada golongan wanita dan kanak-kanak.
“Saya berharap semua mangsa terlibat tabah menghadapi ujian ini, tambahan pula ia berlaku di bulan Syawal,” katanya.
Turut serta ialah pegawai JKM, MASKUM, SELECT, Majlis Perwakilan Pelajar UUM dan sukarelawan yang bertugas.