Lawatan SOG ke ladang rumput Napier perkukuh kolaborasi universiti-komuniti
Gambar oleh: Dr. Noor Hanis Zainol Abidin
MALAU, 18 Mei 2026: Jawatankuasa Komuniti dan Jaringan Industri, Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) telah mengadakan lawatan ke sebuah ladang rumput Napier di Malau, Kedah, sebagai usaha meninjau potensi pembangunan ekonomi komuniti berasaskan pertanian dan penternakan.
Rumput Napier merupakan antara tanaman yang mempunyai potensi ekonomi kerana boleh digunakan sebagai sumber makanan ternakan, khususnya lembu dan kambing. Tanaman ini juga berupaya menyokong kelangsungan industri penternakan tempatan melalui penyediaan sumber makanan ternakan yang lebih stabil dan mudah diperoleh.

Lawatan tersebut bertujuan untuk mengenal pasti potensi ladang rumput Napier sebagai projek pembangunan ekonomi komuniti, memahami cabaran yang dihadapi oleh pengusaha tempatan serta meneroka peluang pemindahan ilmu, penyelidikan gunaan dan kerjasama strategik antara universiti dengan penduduk kampung.
Selain itu, lawatan itu bertujuan mendapatkan maklumat lapangan berkaitan keperluan latihan, pemasaran, penggunaan teknologi pertanian dan pengurusan ladang. Maklumat tersebut penting bagi membantu SoG merangka program pemerkasaan komuniti yang lebih sistematik, berasaskan keperluan sebenar dan memberikan impak jangka panjang.
Lawatan tersebut disertai pensyarah SoG serta Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Dr. Sharif Shafiron Sharif Ali. Turut bersama dalam lawatan tersebut ialah rakan strategik SoG iaitu Kelab Wanita Ikon Malaysia Cawangan Kedah dan Majlis Belia Kubang Pasu yang berkesempatan meninjau proses penanaman, penjagaan, penuaian dan pemasaran rumput Napier.

Menurut Dr. Sharif Shafiron, penglibatan universiti dalam pembangunan komuniti perlu melangkaui pelaksanaan program bersifat sekali sahaja dan sebaliknya memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti serta kelestarian ekonomi masyarakat.
“Lawatan ini membolehkan pihak universiti memahami secara langsung potensi dan cabaran pengusahaan rumput Napier. SoG boleh memainkan peranan melalui penyelidikan, khidmat kepakaran, pemindahan ilmu dan pembangunan jaringan yang dapat membantu komuniti mengurus projek pertanian secara lebih tersusun dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa ladang rumput Napier berpotensi dijadikan tapak pembelajaran lapangan bagi mahasiswa, terutama dalam bidang pembangunan komuniti, pengurusan projek, keusahawanan sosial dan tadbir urus luar bandar.

Wakil Kelab Wanita Ikon Malaysia Cawangan Kedah yang turut sama dalam lawatan tersebut berpendapat bahawa lawatan tersebut membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan dan kerjasama antara pihak NGO, Universiti dan komuniti.
“Kami berharap pihak universiti dapat membantu komuniti dari segi latihan pengurusan, penggunaan teknologi, pemasaran dan jaringan dengan penternak. Rumput Napier mempunyai permintaan, tetapi pengusaha kecil memerlukan bimbingan supaya hasil ladang dapat dipasarkan secara lebih meluas dan berterusan,” katanya.
Lawatan tersebut diharapkan menjadi langkah awal kepada pembentukan kerjasama yang lebih berstruktur antara SoG, NGO dengan komuniti di Malau. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi UUM untuk memperkukuh hubungan universiti-komuniti serta menyokong pembangunan luar bandar yang inklusif, berdaya tahan dan mampan. – Dr. Khofizhoah Mohd Karim



