Jalinan mesra universiti bersama komuniti
Sintok: Hubungan yang erat dan harmoni dengan komuniti setempat perlu diterapkan agar tiada jurang yang jauh bagi memastikan mereka memperoleh faedah dengan kewujudan Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.
Atas kesedaran itu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) UUM proaktif dalam membantu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok ke arah menjadi masyarakat celik maklumat.
Penolong Ketua Pustakawan Menjalankan Fungsi Ketua Pustakawan PSB, Norma Said berkata, kolaborasi antara universiti dan sekolah berupaya meningkatkan kemahiran insaniah, kemahiran komunikasi di samping menyuntik semangat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Ujarnya, seramai 130 pelajar Tingkatan empat menjayakan Program Matlamat Pembangunan Mampan: “Jom Celik Maklumat!”.
Jelasnya, program anjuran PSB dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah menyasarkan untuk meningkatkan kemahiran literasi maklumat dalam membantu pelajar mengenal pasti maklumat dan menggunakan teknik pencarian maklumat dengan betul dalam melaksanakan tugasan kerja khusus.
“Kita mahu mewujudkan pembelajaran yang menyeronokkan dan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif
“Program ini membantu pelajar dalam usaha untuk lebih bersedia sebelum bergelar mahasiswa dan jalinan kerjasama ini diharap dapat diteruskan bagi menyokong serta melahirkan pelajar yang cemerlang dari pelbagai aspek kehidupan,” ujarnya pada program yang dirasmikan oleh Pengetua, Shamsudin Aroff.
Menurutnya aktiviti yang dijalankan dapat menghasilkan hubungan kerjasama yang kuat, saling belajar dan memperluas jaringan seterusnya memperkukuhkan impak positif kepada universiti dalam mencapai tujuan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Menambah seri majlis, 27 staf PSB memainkan peranan sebagai fasilitator untuk membantu meningkatkan kemahiran insaniah serta peluang untuk menyumbang ilmu kepada pelajar sekolah berkenaan.
Sarat dengan pengisian bermanfaat rata-rata pelajar teruja dengan aktiviti berkumpulan yang mewujudkan semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.
Antara aktiviti yang dijalankan, Bengkel Literasi Maklumat oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah dan Edufun Games.
Pada majlis itu, turut menyaksikan Penyampaian Hadiah Pemenang Pertandingan EduFun Games serta penyerahan sumbangan buku kepada Pusat Sumber Al-Falah SMKBBS yang disampaikan oleh Penolong Ketua Pustakawan, Mazyana Hashim kepada Pengetua SMKBBS.