Resonansi Jiwa Merdeka IPIZ pupuk semangat kemerdekaan dan cintakan negara
SINTOK: Sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-67 dan Hari Malaysia, Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPZ) telah mengadakan program Resonansi Jiwa Merdeka ‘brisk walk’, baru-baru ini.
Pengarah Program, Ahmad Khalidi Abdul Halim berkata, program ini bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme serta kesedaran tentang pentingnya pengorbanan dan perjuangan menuntut kemerdekaan.
Menurutnya, sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia adalah acara tahunan yang sangat bermakna bagi rakyat Malaysia, di mana ia bukan sahaja memperingati pencapaian negara dalam mencapai kemerdekaan, tetapi juga menekankan perpaduan dan keharmonian antara pelbagai kaum.
“Program ‘brisk walk’ yang bertemakan “Resonansi Jiwa Merdeka” ini diadakan adalah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga IPIZ. Melalui aktiviti ini, setiap peserta dapat merasai kebanggaan sebagai rakyat Malaysia, serta menghayati nilai-nilai kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh generasi terdahulu dengan nyanyian lagu patriotik secara beramai-ramai seperti Jalur Gemilang dan Sejahtera Malaysia.
“Kibaran Jalur Gemilang sepanjang perjalanan yang menjadi penyeri program ini menambahkan suasana meriah dan penuh semangat patriotisme serta tanda simbolik kepada kedaulatan dan kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya.
Pada masa yang sama, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan staf IPIZ di mana mereka dapat berinteraksi secara lebih santai dan mesra. Ini juga memberi peluang kepada staf untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat, sekali gus mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni dan produktif.
Pihak IPIZ telah berjaya menyemarakkan semangat patriotisme dan kesedaran dalam kalangan kakitangan IPIZ, selaras dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Program ini diharapkan dapat diteruskan pada tahun akan datang untuk terus memupuk semangat patriotisme dan tanggungjawab sosial dalam diri masing-masing. – Muhammad Nursyahmie Farhan Mohd Sokri