In Person With Doc Zam tinggal impak positif kepada pelajar UUM
Gambar Mohd Fuad hamid dan Hairul Nizam Zahari
SINTOK: Program In Person With Doc Zam mengakhiri siri jelajah Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan meninggalkan impak positif.
Program yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah malam tadi turut mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja dari UUM, malahan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Dr. Zambry berkata, program tersebut merupakan rangkuman kepada siri jelajah beliau sempena pendaftaran pelajar-pelajar baharu ke universiti.
“Kita memilih empat kawasan iaitu dua di Lembah Klang dan dua lagi di luar kawasan Lembah Klang untuk adakan siri jelajah ini dalam usaha mendekati pelajar baharu.
“Kita melihat sambutan yang sangat baik kerana pelajar berpeluang berinteraksi secara langsung dengan menteri di mana ia adalah satu proses budaya ilmu tetapi tidak melalui syarahan-syarahan, sebaliknya melalui soal jawab. Ini adalah pendekatan yang saya gunakan semasa menjadi Menteri Besar untuk mendekati mereka,” katanya.
Beliau berkata minggu pertama kemasukan ke universiti bukan hanya sekadar minggu orientasi, tetapi merupakan proses penyesuaian bagi pelajar ke alam baharu kerana mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru.
Dalam sesi yang dikendalikan oleh pelakon dan pengacara, Fizo Omar, Dr. Zambry turut berkongsi kisah hidupnya sebagai anak nelayan yang dibesarkan di perkampungan nelayan di Pulau Pangkor.
Beliau turut melancarkan MyUUM Sticker sebagai simbol keprihatinan UUM terhadap kebajikan pelaajr, menawarkan penyelesaian yang efisien dan mesra pengguna.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar; Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan; ahli-ahli lembaga pengarah universiti dan pegawai-pegawai kanan universiti.