Education

Bakal guru SOE pindah ilmu kuasai operasi asas matematik kepada murid luar bandar

Gambar Nur Syafiqah Faidzul Hassan

KUBANG PASU: Penyelidik dari Institute of Excellent Teachers and Leaders in Education (IETLE), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited dalam usaha meningkatkan penguasaan matematik dalam kalangan murid luar bandar melalui program inovasi sosial “iMathKidzPlaygroup”.

Setelah kejayaan modul pertama bertajuk “Saya & Math” pada 28 September lalu, modul kedua bertajuk “Operasi Asas” telah turut berjaya dilaksanakan baru-baru ini di Komuniti Mukim Jeram, Tunjang.

Modul kedua ini telah memberi ruang kepada peserta untuk meneroka konsep dan operasi asas matematik agar peserta mempunyai asas yang kukuh untuk menyelesaikan masalah matematik yang lebih sukar pada modul seterusnya. Operasi asas ini meliputi topik nilai tempat, nilai digit, bundar dan pecahan serta operasi asas yang berkaitan.

Pelaksanaan program iMathKidzPlaygroup oleh tiga penyelidik daripada SOE ini telah dilaksanakan bersama tujuh fasilitator dan sembilan sukarelawan dalam kalangan alumni dan pelajar Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE), SOE, staf UUM serta ahli komuniti.

Ketua Penyelidik iMathKidzPlaygroup, yang juga merupakan pengarah IETLE, Prof. Madya Dr. Siti Nazuar Sailin berkata, penglibatan fasilitator dari kalangan alumni dan pelajar PGDE UUM dalam bidang pendidikan matematik adalah sangat signifikan kerana mereka telah menjalani latihan yang komprehensif dalam bidang pendidikan, termasuk pedagogi abad ke-21 yang berasaskan permainan atau didik hibur dan berpusatkan pelajar.

Sementara itu, Ketua Fasilitator, Khairunnasuha Abdul Razak yang merupakan alumni program PGDE, SOE berkata, permainan interaktif dalam pembelajaran matematik sangat relevan dalam usaha memastikan murid sentiasa berminat untuk belajar matematik.

“Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan pembelajaran lebih menarik, tetapi juga meningkatkan kefahaman dan keupayaan murid menguasai operasi asas matematik melalui interaksi yang lebih dinamik dan berkesan.

“Dalam modul “Operasi Asas” ini, pelbagai kaedah didik hibur, aktiviti berkumpulan dan bahan bantu mengajar yang interaktif telah diterapkan antaranya kaedah “Round Robin, tarsia, pizza pecahan dan banyak lagi,” katanya.

Peserta, Nuzul Balqis Batrisya, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Tunjang berasa sangat bertuah kerana dapat menyertai program ini.

Menurutnya, dia sedar bahawa matematik sebenarnya sangat menyeronokkan untuk dipelajari dan berterima kasih kepada UUM atas peluang yang telah diberikan.

Program ini turut mendapat sokongan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu selaku rakan kolaborasi agensi pendidikan. Selain itu, Majlis Ketua-ketua Kampung (MKK) Kampung Tanjung, Kampung Guar, Kampung Chegar, Kampung Pulau Timbul dan Kampung Baru di Mukim Jeram bersama Pejabat Penghulu Mukim Jeram telah menjadi rakan kolaborasi komuniti yang menjadi tuan rumah, menyediakan peserta, lokasi dan logistik bagi memastikan kelancaran program tersebut.

Penglibatan pelbagai pihak di dalam program ini merupakan usaha berterusan UUM dalam merapatkan jalinan kerjasama di antara pihak universiti, industri dan komuniti.

Modul ketiga program ini akan disambung pada minggu seterusnya dengan tajuk “Sifir Warrior”. – Mohamad Amir Rahman Mohamad Ariffin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button