Education

Warga UUM rai keunggulan Kamus Dewan Perdana

SINTOK: Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (UBSBM), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (KERSANI) telah menganjurkan program Bersahabat dengan Kamus: Pembudayaan dan Pemasyarakatan Kamus Dewan Perdana (KDP) di Auditorium 1 dan 2, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM.

Seramai lebih 300 peserta terdiri daripada pensyarah, pelajar dan penjawat awam menghadiri program yang bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Melayu tinggi dalam kalangan warga akademik dan masyarakat.

Pelbagai aktiviti interaktif seperti permainan bahasa ‘Roda Kata’, perkongsian ilmu perkamusan, serta jualan dan promosi kamus terbitan DBP telah diadakan. Aktiviti-aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman serta keyakinan diri pengguna bahasa dalam memanfaatkan Kamus Dewan Perdana.

Ketua UBSBM, Dr. Phat Awang Deng, menyatakan bahawa program ini memberikan kesedaran kepada peserta tentang status Kamus Dewan Perdana sebagai khazanah unggul negara yang perlu ditelaah oleh semua.

Menurutnya, Kamus Dewan Perdana bukan sahaja sekadar kamus biasa, ia adalah sumber rujukan yang mengandungi khazanah bahasa dan budaya yang tidak ternilai.

“Program ini bertujuan menyedarkan peserta tentang kepentingan menguasai bahasa dengan baik melalui khazanah ini.

“Program ini diharapkan dapat memberi impak positif dalam memastikan kelestarian penggunaan Bahasa Melayu yang unggul di UUM serta di peringkat nasional,” katanya.

Sesi perkongsian ilmu perkamusan menjadi acara kemuncak program ini dengan dua segmen utama yang dijalankan serentak. Di Auditorium 1, sesi khas untuk pensyarah dan penjawat awam dikendalikan oleh Abdul Ghani Abu dan Siti Norsuhaila Samsudin yang berkongsi pengetahuan mendalam tentang Kamus Dewan Perdana. Di Auditorium 2, sesi untuk pelajar dikendalikan oleh  Mardhiah Othman yang turut menyampaikan input berharga kepada peserta.

Presiden KERSANI, Muhammad Syamin Mohd Hamdan menyatakan bahawa program ini memberikan impak positif kepadanya dan peserta lain.

Menurutnya, sambutan yang memberangsangkan ini mencerminkan minat yang tinggi dalam memartabatkan Bahasa Melayu dan menyokong usaha untuk memperluas penggunaan Kamus Dewan Perdana dalam kalangan masyarakat.

“Saya merasa lebih yakin menggunakan Bahasa Melayu dalam konteks formal selepas mendengar perkongsian daripada penceramah.

“Permainan Roda Kata juga membantu saya mengingat dan memahami lebih banyak perkataan baharu yang saya boleh gunakan dalam penulisan akademik,” katanya.

Program ini turut menyaksikan sesi soal jawab dan kuiz yang memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi dan menguji pemahaman mereka. – Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button