General

Lawatan ke DXN Jitra bagi pengalaman urus perniagaan kepada pelajar UUM

Gambar PPKS

JITRA: Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kilang DXN Sdn. Bhd. di Jitra, baru-baru ini.

DXN Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang terkenal dalam pengeluaran produk kesihatan berasaskan herba, spirulina dan lingzhi. Lawatan ini diketuai oleh Pengarah PPKS, Khairul Anuar Adnan.

Delegasi telah disambut oleh sekumpulan staf DXN Sdn. Bhd. dan Pengurus Operasi Perniagaan, Muhammad Hasbi Ibrahim.

Khairul Anuar berkata, lawatan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai pengurusan sebenar sesebuah organisasi dan operasi perniagaan yang berkesan.

Menurutnya, sepanjang lawatan, pelajar diberi peluang untuk melihat secara langsung proses pengeluaran produk serta sistem pengurusan yang digunakan oleh DXN Sdn. Bhd.

“Pelajar juga dapat berinteraksi dengan pengurus dan kakitangan syarikat yang berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai strategi pemasaran, pengurusan pentadbiran, pengurusan sumber manusia dan keselamatan pekerja serta inovasi dalam produk,” katanya.

Pelajar UUM berpendapat bahawa lawatan ini sangat bermanfaat kerana ia memberikan mereka gambaran yang lebih jelas tentang pengurusan dan dunia perniagaan serta mereka dapat memahami cabaran yang dihadapi oleh syarikat dalam industri yang kompetitif serta cara untuk mengatasinya.

Pengurus DXN Sdn. Bhd. turut berkongsi pengalaman mereka menguruskan perniagaan dan cabaran ketika Pandemik Covid -19 serta strategi menangani cabaran tersebut. Salah satu kelebihan persaingan Syarikat DXN Sdn. Bhd. ialah mengekalkan eksport ke luar negara ketika wabak Covid-19.

Dengan pengalaman ini, diharapkan pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam pembelajaran mereka dan mempersiapkan diri untuk kerjaya di masa hadapan.

Lawatan ke DXN Sdn. Bhd. Jitra ini merupakan salah satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan industri, meningkatkan kemahiran praktikal pelajar dan pendedahan sebenar pengurusan sesebuah organisasi. – Syahrina Abdullah

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button